Cukup Satu Haul...
CARA UNTUK MENGAGALKAN
PENGGANAS – ‘Bagaimanakah Anda Menghadapinya’
Mungkin anda pernah menaiki pesawat atau kapal laut untuk melawat atau
melancong ke luar Negara. Tetapi pernahkah anda memikirkan tentang keselamatan?
Tiada siapa yang suka kebebasannya diganggu. Tetapi bagaimana sekiranya anda
menghadapi pengganas ketika menaiki pesawat atau kapal laut? Pernahkah anda
memikirkan perkara seperti itu berlaku pada anda? Untuk tujuan itu ‘Perajurit’
memberikan 51 panduan (tip) kepada para
pembaca bagaimana cara mengelak dan menggagalkan pengganas atau penjenayah sama
ada ketika dalam penerbangan domestik atau sebagai mangsa pengganas atau
perampas pesawat.
RANCANG PERJALANAN ANDA
1. Falsafah anti-pengganas:
Jangan beranggapan “ia tidak akan berlaku pada
diriku”. Sebenarnya sebaik sahaja anda berada di luar Negara bererti anda
sentiasa terdedah kepada serangan pengganas.
2. Elakkan lawatan ke Negara yang bergolak:
Contohnya: Beirut, India atau Pakistan di mana
banyak kawasan yang tidak selamat dan sering terdedah kepada serangan
pengganas.
3. Barang kemas:
Boleh dibawa, tetapi jangan memakainya. Ia akan
mendedahkan bahawa anda adalah orang yang berada
4. Bagaimana dengan rambut anda?:
Sikat rambut anda cara mudah dan sopan. Jika
rambut anda dipotong terlalu pendek, pihak pengganas akan beranggapan bahawa
anda adalah seorang anggota tentera.
5. Lawatan:
Elakkan lawatan ke luar Negara apabila terdapat
upacara tertentu seperti pertunjukkan ketenteraan, sambutan hari kemerdekaan
atau lain-lain perayaan.
6. Dapatkan Pasport:
Anggota tentera sering menggunakan pengenalan
mereka (BAT C 10), tetapi cuba dapatkan passport, ia akan mengelak daripada
pengecaman pihak pengganas.
7. Bersihkan pasport anda:
Jika pasport anda sudah terdapat banyak cop atau
tanda lawatan ke luar Negara, terutamanya Negara-negara berkonflik – usahakan
untuk mendapatkan pasport baru. Pihak pengganas sentiasa cuba mengecam pelawat
yang sering melawat Negara yang menjadi musuh mereka.
8. Tinggalkan pesanan:
Terangkan rancangan lawatan anda kepada keluarga
atau rakan anda – ke mana anda pergi, menginap di mana, berapa lama anda akan
berada di sana, bagaimana untuk berhubung dengan anda, dan bila akan kembali.
Jika anda mengubah perjalanan atau lawatan, beritahu segera di mana anda
berada.
9. Bawa
ubat berlebihan:
Jika anda mempunyai penyakit dan terpaksa
mengambil ubat setiap hari, cuba bawa bekalan ubat berlebihan
sekurang-kurangnya untuk keperluan seminggu. Jangan disimpan di dalam bagasi,
tetapi tentukan ianya dibawa mungkin dalam bag kecil bersama anda.
10. Maklumat pasport:
Tuliskan nombor pasport, tempat ianya dikeluarkan
dan tarikh tamat tempoh. Simpan maklumat berkenaan dalam dompet dan beg anda.
Ia boleh membantu pengenalan ketika berlaku kecemasan atau sekiranya anda
kehilangan, kecurian atau dirampas oleh pengganas.
11. Tentukan masa berlepas:
Tentukan dengan menelefon pihak lapangan terbang
jangka masa berlepas tidak berubah atau telah dibatalkan.
12. Kelas pertama:
Jika anda membeli tiket duduk di kabin kelas
pertama, secara tradisinya ia akan menjadi sasaran pertama pihak pengganas
kerana penumpang kelas pertama adalah dikenal sebagai “orang yang berada”.
Mereka yang duduk di kabin kelas pertama biasanya adalah yang terakhir akan
dibebaskan oleh pengganas.
13. Kunci beg anda:
Tentukan anda mengunci beg anda. Ia bukan sahaja
untuk mengelak dari kecurian, tetapi dikhuatiri pihak pengganas akan memasukkan
bom atau lain-lain bahan letupan ke dalam bagasi anda.
14. Gunakan tag biasa:
Jangan gunakan ‘bussines card’ anda. Ia akan
mendedahkan identiti anda. Gunakan tag bagasi yang ditulis nama, alamat dan
nombor telefon pejabat.
15. Tanggalkan pelekat perjalanan/perniagaan
dari beg anda:
Tentukan bagasi anda bersih dari sebarang pelekat
yang memberitahu ke mana pernah anda pergi atau apa juga pelekat yang
melambangkan unit sesebuah tentera atau polis.
16. Simpan tanda pengenalan anda:
Jangan sesekali membawa ‘business card’, kad
pengenalan tentera atau apa juga pengenalan yang bersabit dengan anda. Simpan
semuanya di dalam bagasi jika anda terpaksa membawanya bersama. Hanya bawa
lesen memandu dan kad kredit yang mungkin anda perlukan ketika melancong.
17. Penuhkan dompet anda:
Gambar-gambar anak anda – lebih ramai lebih baik.
Ini mungkin membantu menyelamatkan nyawa anda apabila pihak pengganas merampas
dompet dan melihat gambar-gambar keluarga anda yang ramai.
18. Tiket perjalanan:
Cuba asingkan tiket-tiket perjalanan anda bagi
mengelak daripada diketahui perjalanan anda seterusnya.
KESELAMATAN KETIKA DI LAPANGAN TERBANG
19. ‘Check in’ awal:
Cuba ke lapangan terbang seawal mungkin bagi
mengelak dari berbaris panjang untuk ‘check in’.
20. Boarding pass:
Kini sudah banyak syarikat penerbangan yang
menyertakan ‘boarding pass’ bersama tiket penerbangan. Mohonlah perkhidmatan
tersebut bagi mengelak anda menunggu di kaunter – sekurang-kurangnya anda
berjaya mengurangkan risiko serangan mengejut pihak pengganas di lapangan
terbang.
21. Di dalam terminal:
Jangan berdiri berhampiran pintu atau tingkap di
dalam terminal. Pecahan dan serpihan kaca akan membunuh seperti mana letupan
bom apabila ianya diserang. Sentiasa berada di bahagian tengah terminal.
22. Periksa bagasi anda:
Ketika tiba ke destinasi, periksa bagasi anda
dengan teliti. Adakah ianya terbuka atau ditutup tidak kemas? Jika berlaku
demikian, jangan cuba sentuh beg anda; segera dapatkan bantuan pegawai
keselamatan.
23. Jika berlaku tembakan/letupan:
Jika anda mendengar bunyi tembakan atau letupan,
segeralah meniarap di lantai dan cuba lindungi kepala anda. Jangan cuba lari
atau panik – adalah amat berbahaya jika anda berlari kerana peluru dan serpihan
letupan yang terbang akan mencederakan atau membunuh anda.
DI DALAM PESAWAT
24. Periksa
tempat duduk anda:
Sebaik sahaja memasuki pesawat cuba periksa tempat
duduk anda; jangan harapkan keseluruhan keselamatan kepada ‘ground crew’.
Periksa poket kerusi hadapan anda, di bahagian bawah kerusi dan juga di
bahagian atas rak bagasi.
25. Penumpang pesawat:
Cuba elakkan daripada berbual dengan penumpang di
dalam pesawat mengenai perkara sensitif seperti hal politik, dan agama. Jika
anda tidak menyetujuinya, lebih baik anda diam.
26. Menilai penumpang:
Sebaik menaiki pesawat pastikan anda mengecam
semua krew pesawat berkenaan.
KESELAMATAN ANDA
27. Check-in hotel:
Mana-mana juga negara, kakitangan hotel akan
berusaha membantu untuk membawa beg anda. Jangan sekali-kali dibiarkan beg itu
jauh daripada perhatian anda. Tentukan ianya sentiasa berada di samping anda.
Pengganas mungkin berusaha untuk memasukkan bom jangka ke dalam beg anda dan
akan meletup apabila anda berada di dalam bilik.
28. Beritahu pihak hotel:
Apabila ‘check-in’ di hotel, berikan alamat
pejabat anda dan begitu juga alamat rumah anda (jika perlu). Jangan sekali-kali
berikan alamat kediaman anda kepada “rakan tempatan” yang baru anda temui. Jika
untuk tujuan berhubung berikan alamat pejabat anda kepadanya.
29. Mereka yang tidak dikenali:
Jangan temui mereka yang anda tidak kenali sama
ada untuk ‘berkenalan’ minum atau makan bersama pada lokasi yang anda tidak
ketahui. Adakan temujanji atau pertemuan di tempat yang anda benar-benar biasa
dengannya.
30. Pertukaran wang:
Tukaran wang boleh dibuat sama ada di hotel atau
di bank-bank ternama. Jangan sekali-kali menukar wang dengan “penukar wang
jalanan” – anda mungkin tertipu atau pasport anda akan dirampas.
31. Memasuki hotel:
Jangan gunakan pintu utama setiap kali anda balik
atau ke luar hotel. Sekali-sekala cuba gunakan pintu belakang untuk keluar
masuk hotel.
32. Pintu kecemasan:
Pastikan dimanakah pintu atau tangga kecemasan di
hotel berkenaan, begitu juga dengan alat pemadam kebakaran.
33. Mencari bantuan:
Anda mesti tahu bagaimana menghubungi pihak polis
atau pihak kedutaan anda. Simpan alamat dan nombor kedutaan dalam dompet anda
untuk keperluan kecemasan.
34. Jangan merayau:
Jangan sekali-kali melawat ke kawasan di mana
kadar jenayahnya tinggi dan kurang mendapat perlindungan polis.
35. Pemberian bungkusan:
Jangan sekali-kali menerima sebarang bungkusan
yang anda tidak ketahui atau yang bukan ditujukan kepada kita.
ANDA MENJADI MANGSA PENGGANAS
36. Jangan panik:
Panik tidak akan membantu situasi, malah ianya
lebih mengusutkan lagi keadaan anda.
37. Pengganas juga gementar:
Kebanyakkan pengganas adalah ‘kali pertama’ mereka
juga gementar dan takut. Jika para penumpang pesawat sentiasa berjaga-jaga dan
hal ini mungkin disedari oleh pengganas sudah tentu mereka akan menggagalkan niat
untuk menyerang.
38. Perhatikan komplot pengganas:
Jika serangan berjaya dilakukan, pihak pengganas
mungkin memerlukan anggota tambahan. Cuba awasi penumpang yang duduk
berhampiran anda, mungkin mereka adalah salah seorang daripada komplot
pengganas berkenaan.
39. Berikan kerjasama:
Jangan bersikap provokatif atau melawan.
40. Perhatikan mereka:
Cuba perhatikan segala yang berlaku di sekekliling
anda. Berapa ramaikah jumlah mereka? Apakah tujuan mereka? Bagaimanakah rupa
mereka?
41. Senjata:
Jika masa mengizinkan, berusahalah secara senyap
untuk mendapatkan apa juga alatan kecil yang boleh digunakan sebagai senjata
anda.
42. Perhatikan penumpang:
Perhatikan rakan-rakan penumpang disekeliling
anda. Siapakah di antara mereka yang masih kuat dan sihat? Siapakah yang tidak
sihat? Siapakah yang boleh anda harapkan? Manakala mereka yang lemah dan
ketakutan telahpun anda ketahui di awal kejadian.
43. Bagaimana menentang mereka:
Bolehkah anda menggagalkan pengganas? Jika boleh
bagaimanakah ianya dilakukan? Bagaimana sekiranya gagal? Adakah anda perlu
bantuan daripada penumpang lain?
44. Menyelamat:
Disamping bahaya menentang pengganas, anda juga
harus tahu untuk menyelamat. Adakah anda tahu di mana pintu kecemasan pesawat? Adakah
anda tahu bagaimana mengendalikan pintu berkenaan dan peluncur kecemasan
pesawat?
45. Apakah yang mereka mahu:
Cuba selidiki apakah yang mereka mahu – duit,
publisiti?
46. Jangan halang mereka:
Jangan sekali-kali menghalang apa sahaja yang
mereka minta dari anda, walaupun barang itu mungkin mempunyai nilai sentimental
buat anda. Tutup mulut anda dan berikan kepada mereka. Jika tidak, anda mungkin
menjadi mangsa pengganas.
47. Usah dedahkan diri anda:
Jangan sekali-kali memberitahu anda bahawa anda
adalah anggota tentera, polis, pegawai eksekutif syarikat penerbangan, atau
pengurus syarikat besar, diplomat dan sebagainya. Cuba sedaya upaya rahsiakan
pekerjaan anda.
48. Minta kebenaran:
Apa juga perbuatan anda dalam perhatian pengganas.
Cuba meminta kebenaran mereka walaupun untuk membuka baju kot, ke tandas,
meminta minuman dan sebagainya.
49. Masa berlalu:
Dalam keadaan begini sesiapa sahaja akan merasakan
dirinya tertekan dan ketakutan. Tetapi anda mesti tenang dan sentiasa ingat
bahawa masa menyebelahi anda. Jika masa berlalu lama tanpa berlaku sebarang
ugutan dan pembunuhan ia bererti bahawa sesuatu sedang diusahakan –
perbincangan, atau mungkin usaha sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat.
50. Duduk diam:
Jika pasukan keselamatan sedang berusaha melakukan
operasi menyelamat, dalam keadaan ini hanya sedikit yang boleh anda lakukan. Biarkan
anggota professional yang melakukannya. Cuba tunduk serapat yang boleh antara
kerusi dan lantai pesawat, diam sehingga tiada lagi bunyi tembakan sehinggalah
anda diarahkan keluar dari pesawat berkenaan.
51. Keluar segera dari pesawat:
Jika usaha menyelamat berjaya, keluar dari pesawat
secepat mungkin. Jangan cuba sentuh atau mengambil apa jua barangan yang ada
ketika anda keluar dari pesawat berkenaan. Ia mungkin telah dipasangkan ‘jerangkap
samar’, atau terdapat bom jangka yang tersembunyi.
Wallahualam bissawwab..
Halim Fansuri – 31 Mei 2012/10 Rejab 1433H/1454H)
p/s:
..dipetik dari majalah PERAJURIT keluaran Disember 1995/Ms: 18 – 19. Cukup satu
Haul aku bertapa.. he he he..