DALAM NEGERI/7 April 2008 / 30 Rabiul Awal 1429
Sikap pilih kerja punca 400,000 belia menganggur
KUALA LUMPUR 6 April - Sikap rakyat tempatan yang tidak mahu bekerja dalam persekitaran kotor[i] merupakan antara sebab utama kira-kira 400,000 belia menganggur dan kekosongan itu direbut oleh warga asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sikap memilih belia tempatan itu menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan[ii] dan mendorong pertambahan jumlah warga asing di ne gara ini.
''Gaji yang berpatutan dibayar kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing, namun mereka hanya bertahan sehingga dua atau tiga minggu dalam perkhidmatan seperti hospitaliti, pelancongan dan penyediaan serta penjualan makanan.
''Peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor ini tidak dihargai oleh belia tempatan dan mereka rela menjadi penganggur sehingga mendapat kerjaya yang diminati[iii]," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Subramaniam mendedahkan mengenai kira-kira 400,000 rakyat tempatan menganggur kerana tidak mahu bekerja dalam sektor yang menjadi tumpuan warga asing.
Tambahnya, latihan kemahiran yang dicadangkan oleh kementeriannya diharap dapat membantu mengubah fikiran dan sikap warga tempatan [iv]untuk terus berkhidmat dalam industri seperti ini.
''Tidak ada cara terbaik selain latihan kemahiran untuk mengubah fikiran para belia,[v] sedangkan gaji yang dibayar dalam sektor tersebut adalah berpatutan.
''Gaji tidak menjadi masalah tetapi sikap rakyat tempatan yang tidak bersedia untuk bekerja keras seperti warga asing menyebabkan masalah pengangguran dan pertambahan warga asing di negara ini," [vi]tegasnya.
Katanya, jika rakyat tempatan tidak bersedia untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan maka warga asing terpaksa dibawa ke negara ini bagi mengisi kekosongan itu.
[i] Apa yang dimaksudkan dengan ‘kotor’? Adakah berkaitan dengan pengurusan sisa kumbahan dan sampah sarap, atau kerja di pasar basah? atau industri penternakan (terutama sekali penternakan babi?).
[ii] Sekali lagi, sektor-sektor yang memerlukan dan jumlah perjawatan yang kosong juga tidak dinyatakan.
[iii] Jika seorang graduan itu dilatih dalam bidang fizik quantum, guaman, pengurusan pentadbiran, atau pengurusan awam mendapat kelulusan sarjana dan tiada peluang pekerjaan (tiada sebarang peluang yang disediakan), wajarkah beliau menceburi bidang pekerjaan buruh kasar seperti kerja di pasar awam? Berapa belanja yang dikeluarkan semasa pengajian? Berapa masa yang telah dihabiskan? Buat apa memerah otak selama bertahun-tahun jika akhirnya menjadi tukang potong ayam atau buruh kasar berkelulusan sarjana?
[iv] Masyarakat Melayu dewasa kini umumnya sangat menilai materialistik. Kerjaya yang ada unsur-unsur prestij dan kekuasaan menjadi kayu ukur dalam pemilihan bakal menantu dan pasangan hidup seseorang ‘perempuan’ Melayu yang mana ini telah menjadi tekanan masyarakat terhadap belia (lelaki). Lazimnya, seorang perempuan (tidak kira tahap pelajarannya) akan ‘menilai’ calon-calon pilihan dengan soalan, ‘mengapa tidak berkereta?’. Sebuah soalan yang mempunyai makna yang mendalam. Penulis sendiri pernah mengalami pengalaman yang serupa.
[v] Tidak ada cara lain lagi melainkan dengan mendidik Bangsa Malaysia khasnya kaum Melayu supaya menggantikan tekanan sosial berdasarkan budaya materialistik kapitalis yang penuh kemegahan dan keangkuhan. Ini dapat dilihat pada majlis-majlis perkahwinan kontemporari di masa kini. Media arus perdana juga diseru dan digesa supaya menghentikan indoktrinasi budaya yang mempromosikan budaya heidonisme dan kemewahan serta glamour supaya masyarakat tidak khayal dan menyanjungi kemewahan. Tidak semua belia di Malaysia ini bernasib baik seperti yang ditonjolkan oleh media. Ada yang dipenjarakan akibat tidak menghadiri PLKN kerana menyara keluarga.
[vi] Ketegasan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam amat-amat dihargai dan dialu-alukan oleh penulis dalam menangani masalah pengangguran di Malaysia. Tetapi beliau haruslah turun padang dan menjalankan field research ke atas golongan pemuda dan memahami masalah ini dari konteks sosiologi, dan bukannya menunding jari menyalahkan belia semata-mata. Menyatakan warganegara Malaysia tidak bersedia bekerja keras adalah kurang tepat dan ianya satu percaturan politik yang silap dan tidak sihat untuk karier beliau. Penulis berasal dari golongan pekerja kelas bawahan dan terpaksa bekerja keras selama beberapa tahun demi mengumpul belanja ke menara gading...
-Orang Ber Ada