Tuesday, September 15, 2009

Ah Beng Kuala Pilah

Ah Beng Kuala Pilah

Ah beng @ Apek Tiau @ Cina Ah Beng. Mewarisi perniagaan keluarganya membuat dan menjual keranda di pekan kuala pilah.. masih bujang lagi dan sedang mencari. Sekali pandang, dia kelihatan seperti watak tua yang hebat kungfu dalam cerita cina. Dengar ceritanya dulu pernah nak kahwin dengan perempuan Melayu dari Juasseh Tengah dekat-dekat Batu Kikir dan sanggup masuk suku tapi tak jadi kerana gerun mengingatkan tajamnya pisau to’ mudim.. selalu juga kelihatan minum kopi dikopitiam sekitar pekan.. inilah kisah beliau....

Pekan Kuala Pilah masih meriah lagi waktu malam ni.. raya dah dekat, orang-orang kampung yang tinggal di sekitar pekan sibuk membeli-belah, terutamanya orang-orang rumah.. cari bahan untuk persiapan untuk hias rumah, baju anak-anak, dan juga suami tersayang.. maka sekelian rombongan yang berbondong-bondong memenuhi kedai kain di situ kerana sibuk pada siang harinya dengan tugas memasing.. Ada yang datang berdua, bertiga, berempat membawa keluarga.. namun ada jua yang berjalan seorang diri, tengok-tengok, mencari-cari..

“..haiya! kalau ala mukak kidai kayen ini hali manyak untung maa!”, keluh hati Ah Beng memerhati dari dalam kopitiam seberang jalan. Jual kain, pelanggannya orang hidup; jual keranda, pelanggannya orang mati. Tersedar dia, lalu bersyukur, jualan keranda dari kayu chengal tempohari dah dapat memenuhkan poket seluar katok lusuhnya buat setengah tahun lagi.. dalam diam dia bersyukur..

Dalam kesyahduan Ah Beng mengingat kebesaran Tuhan.. sambil tangan tua beruratnya menyuakan kopi panas ke bibir..

“..PPPRRRUUSH!”

Menyembur kopi panas yang baru separuh masuk ke rengkung tenggoroknya.. bukan sebab panas, atau masin, atau si Ah Keng salah bancuh kopi. Dalam sibuk-sibuk mata jahatnya melilau memerhatikan orang berjual-beli, dia terpandang sepasang mata yang pada hematnya amat dikenali sangat-sangat walau cuma sekelibat sahaja.. serta-merta hatinya terdetik..

MILAH!

Pantas dia mengejar kelibat tersebut, yang melarikan diri di celahan orang ramai.. tangkas dan pantas.. dia tak ingat lagi dengan kopi panas kegemarannya.. Ah Keng yang baru datang ke meja membawa Char Kuew terngaga lebar melihat Ah Beng yang berlari di tengah kerumunan orang ramai macam masuk hantu..

“..hunh.. hunh.. hunh..”, semput benar si Ah Beng. Seingatnya inilah kali pertama dia berlari sepantas Watson Nyambek setelah berpuluh tahun berenti menceburi pecut 100 meter peringkat daerah.. juara 3 tahun berturut tu..

Kelibat manusia yang sangat-sangat dirinduinya itu mula nampak di depan mata, dah mula masuk lorong ke kampung.. malam kelam tak berbintang itu dirasakan terang-benderang, bintang-bintang di langit umpama lampu jalan yang menerangi laluan.. sikit sahaja lagi.. sikit sahaja lagi.. nafas si Ah Beng makin sesak, terasa padat isi dadanya, mata dah mula berkunang, peluh mencucuri segenap tubuh sampai kuyup baju pagoda yang dipakai, namun susuk perempuan di depan matanya cukup konsisten kederasan langkahnya.. ingin dia memanggil, tapi tiada suara keluar dari rengkungnya..

“...MILAH! MILAH! TUNGGU!”, akhirnya dengan penuh kederat dia berjaya melepaskan suaranya yang sedikit serak..

Lembaga itu berhenti.. walaupun tak memusingkan badannya, Ah Beng kenal benar akan bentuk badan perempuan itu.. Ah Beng berenti, badannnya membongkok dan kedua tangannya memegang lutut, sambil cuba mengimbangi tubuhnya agar tidak tumbang ke depan.. tercungap-cungap si Ah Beng mengatur nafas..

“..Milah.. ini wa la.. Ah Beng..”, cukup sukar dia melafazkan kata-kata..

Ya.. lama sudah dia menunggu, lama sudah si Ah Beng menanti, dan penantiannya berakhir jua malam ini.. rindu dendam cinta berahi.. kehausan cintanya bagaikan terubat jua..

Wajah manis dengan tahi lalat di hidung yang didambainya menguntum senyum.. mengorak langkah menghampiri Ah Beng yang setengah mati berlari mencangkung menekan perut.. lalu membongkok sedikit, ya tak salah lagi! Ini memang Milah!

“..Maaf la bang, saya bukan Milah.. saya Laila.. abang tak apa-apa?”,

“..Hah? Hah?..” Ah Beng terkesima.. dia terpukau dengan renungan mata itu hingga ke dini hari, berbahagialah dia... adakah ini taqdir?

.. Tuhan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

(Halim Fansuri – 15 September 2009/25Ramadhan 1430H / 2301H)

P/s: ... . siapakah Laila?. Dan apakah taqdir? Berbahagialah si Ah Beng hingga ke esok hari..


Monday, September 14, 2009

Secangkir Kahwa Pengendur Urat

Secangkir Kahwa Pengendur Urat

Sesetengah orang, tak ada mengaku ada.

Sesetengah orang, tak ada tapi lidahnya bercerita.

Sesetengah orang, mengetahui tapi tak memilikinya.

Sesetengah orang, mengetahui dan memilikinya, tapi tidak dapat menguasainya.

Sesetengah orang, mengetahui dan memilikinya, dan dapat menguasainya, tetapi lidahnya ditapa...

Anda bagaimana?

(Halim Fansuri - 14 September 2009/24Ramadhan 1430H / 0830H)

P/s: ... sikijap ala! Sikijap tak ala! Mana satu ala butut maa?.. pening si Ah Beng ni mendengar...

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani