Secangkir Kahwa Pengendur Urat
Melayu (sajak Allahyarham Usman Awang@Tongkat Waran)
Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi-bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun,
Jika menipu pun masih bersopan,
Bila mengampu bijak beralas tangan,
Melayu itu berani jika bersalah,
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut,
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat jangan mati anak,
Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya,
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mu’alaf bertakrif Melayu,
(setelah disunat anunya itu).
Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan,
Melayu itu kaya falsafahnya,
Kias kata bidal pusaka,
Akal budi bersulamkan daya,
Gedung akal lautan bicara,
Malangnya Melayu itu kuat bersorak,
Terlalu ghairah pesta temasya,
Sedangkan kampung telah tergadai,
Sawah sejalur tinggal sejengkal,
Tanah sebidang mudah dijual,
Meski telah memiliki telaga,
Tangan masih memegang tali,
Sedang orang mencapai timba,
Berbuahlah pisang tiga kali,
Melayu itu masih bermimpi,
Walaupun sudah mengenal Universiti,
Masih berdagang di rumah sendiri,
Berkelahi cara melayu,
Menikam dengan pantun,
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam,
Merendah bukan menyembah,
Meninggi bukan melonjak,
Watak melayu menolak permusuhan,
Setia dan sabar tiada sempadan,
Tapi jika marah tak nampak telinga,
Musuh dicari ke lubang cacing,
Tak dapat tanduk telinga dijinjing,
Maruah dan agama dihina jangan,
Hebat amuknya tak kenal lawan,
Berdamai cara Melayu indah sekali,
Silaturrahim hati yang murni,
Maaf diungkap sentiasa bersahut,
Tangan dihulur sentiasa bersambut,
Luka pun tidak lagi berparut,
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan,
Segala yang ada sanggup diberikan,
Sehingga tercapai sebuah kiasan,
“Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami ulang lapar tak makan,
Kera di hutan disusu-susukan,
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu?
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang,
Jika pantang menghalang kemajuan,
Jangan segan menentang larangan,
Jika yakin kepada kebenaran,
Jangan malu mengucapkan keyakinan,
Jika percaya kepada keadilan,
Jadilah bangsa yang bijaksana,
Memegang tali, memegang timba,
Memiliki ekonomi mencipta budaya,
Menjadi tuan di negara Merdeka..
Nukilan,
Allahyarham Usman Awang.
Halim Fansuri – 3 Oktober 2009/14 Syawal 1430H / 0906H)
P/s: ... . Melayu itu bukannya bangsa, tetapi sebuah kesatuan; semua boleh masuk, tapi syaratnya Islam. Sebab itulah sejarah asal-usul ‘bangsa’ Melayu kabur amat jika nak dibandingkan dengan ‘suku bangsa’ yang lain.. hmm sikit masa lagi, kita akan dituduh pula ‘mencuri’ Raja-raja dan segala adat istana dari mereka, hahaha.. Usah dilayan perangai ‘bangsa’ tak beradab tak tentu asal-punca tu, tetapi jika nak ‘mengenakan’ juga, bukalah kitab-kitab lama seperti salatus salatin tu, banyak ‘petua’ dan ‘caranya’, ‘dalam senyum aku mengena’ heheheh....



3 comments:
teringat hamba pada lagu m nasir - apa lagi... mmm...
Hari ini ramau melayu yang dah tak amalkan islam lagi. cuma ikut masa-masa tertentu sahaja, bukan cara hidup. dan ada yang mohon keluar dari islam. maka nak kata bangsa apa golongan ini
Melayu tanpa MIM adalah lam alif ya wau..
Post a Comment