Gambar Hiasan: Lokasi Penempatan suku-suku Orang Asli Di Semenanjung Malaysia
Sumber: http://jekoa.faithweb.com/index.html
Pencerobohan hak Orang Asli dipandang sepi - 2010/05/10 (Kolum Surat BH)
ISU kemunduran dan pencerobohan tanah berdekatan penempatan Orang Asli Semenanjung mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak. Ini mungkin berpunca daripada sikap Orang Asli sendiri yang bersifat underdog, umpama hidup segan mati tidak mahu, serta kuasa undi yang kecil berbanding kaum lain.
Pencerobohan tanah kerajaan (hutan simpan) berdekatan kampung saya iaitu Kampung Orang Asli Changkat Ramu dan Buluh Seruas, Slim River, Perak berlaku dua hingga tiga tahun lalu dan kini masih berleluasa kerana tidak dapat ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa.
Penceroboh dari Ijok, Batang Berjuntai, Sitiawan juga begitu rakus menggondol hutan ini kerana mereka seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang. Walaupun pihak terbabit menjenguk beberapa kali tapi hasilnya tiada dan mereka hanya mendendangkan lagu Janji Manismu yang jelas sumbang. Akhirnya, kami ibarat spesies terancam yang hilang tempat meneruskan kelangsungan hidup.
Kami penduduk ‘asal’ yang sekian lama tinggal di sini juga sudah membuat permohonan tanah pertanian berkelompok di kawasan yang diterokai seluas 120 hektar dengan 80 peserta kerana keluasan penempatan kami cuma tinggal 9.6 hektar.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pembabitan kerajaan dalam pembangunan infrastruktur amat dihargai seperti penyaluran bekalan elektrik serta jalan berturap, walaupun kami masih dahagakan bekalan air bersih seperti dijanjikan. Pihak kerajaan juga melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) menyediakan bantuan penuh pendidikan kepada anak Orang Asli yang bersekolah.
Namun, kebanyakannya anak Orang Asli masih ramai keciciran dalam pelajaran dan satu daripada puncanya ialah tidak mempunyai pendapatan tetap atau kebun yang dapat memberi pulangan berbaloi.
Ke manakah masyarakat minoriti dan underdog seperti kami ingin mengadu? Mungkin ketiadaan wakil rakyat atau menteri di kalangan Orang Asli juga melenyapkan isu sebegini daripada dibentangkan di Parlimen.
Diharapkan pihak kerajaan memberi perhatian serius kepada isu sebegini kerana Wawasan 2020 yang dicanangkan suatu ketika dulu cuma tinggal beberapa tahun saja lagi.
Sikap tidak prihatin ini akan melenyapkan hasrat Malaysia menjadi negara maju dan akhirnya masyarakat peribumi seperti kami akan melalui zaman gelap.
M AMIR LI,
Changkat Ramu, Perak.
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PencerobohanhakOrangAslidipandangsepi/Article/index_html
Halim Fansuri – 10 May 2010/25 Jamadil Awwal 1431H/0850H)
p/s: .. apalah nasib orang-orang asal ni.. terbuang di bumi sendiri.. dihalau dan dipinggir dari tanah adat milik nenek moyang mereka.. Bumi ini milik siapa sebenarnya?


No comments:
Post a Comment