Thursday, December 17, 2009

Sekadar Sebuah Renungan

Sekadar Sebuah Renungan

Berita Utama - Khamis, 17 Disember 2009/30 Dzulhijjah 1430H

Gubal undang-undang hukum pengamal sihir

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my

SHAH ALAM: Penggunaan ilmu hitam, termasuk bagi menundukkan suami atau isteri serta dalam aktiviti jenayah mendapat perhatian pakar agama yang menyarankan supaya undang-undang sihir diwujudkan untuk mencegah amalan itu berleluasa.

Saranan itu dikemukakan pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor di sini, semalam.

Pada sidang media selepas merasmikan muzakarah itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata undang-undang berkenaan boleh dimasukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam dan bagi bukan Islam pula perlu diwujudkan akta baru.

Beliau berkata, ketika ini pengamal dan pihak yang mengarahkan sihir itu dilakukan terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang berkaitan.

“Ilmu sihir sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera. Sehubungan itu, pengamal undang-undang dan pihak berkuasa perlu memikirkan bentuk undang-undang yang sesuai untuk mendakwa pengamal ini di mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil muzakarah itu akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa negeri untuk dibincang lebih lanjut sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional.

Ahli panel muzakarah itu, Datuk Dr Haron Din, pula berkata, peruntukan undang-undang bagi membanteras penggunaan sihir, terutama di kalangan orang Islam perlu diberi perhatian kerana wujud keadaan mendesak berdasarkan situasi semasa.

Katanya, ilmu sihir digunakan secara meluas untuk aktiviti jenayah, termasuk pukau, rompak dan samun di beberapa kedai emas seperti dilaporkan sebelum ini.

"Penjenayah dikatakan hanya menepuk belakang mangsa atau meniup asap rokok ke muka mangsa menyebabkan mangsa tidak sedar atau dipukau sebelum barang mereka dilarikan," katanya.

Katanya, walaupun ilmu sihir abstrak, pengamalnya mempunyai bilik khas dan menggunakan peralatan khusus untuk pemujaan seperti tengkorak haiwan dan senjata lama yang boleh dijadikan barang bukti.

Beliau mencadangkan supaya pengamal ilmu hitam itu disabitkan dengan undang-undang Takzir, iaitu bentuk hukuman diserahkan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara dan jenis kesalahan.

Katanya, sabitan mengikut Takzir memerlukan pembuktian yang lebih mudah dengan bukti secara langsung dan tidak langsung serta bukti sampingan lain, berbanding Hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah.

Antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah termasuk buang daerah, penjara dan sebatan (mengikut hukum syarak), selain diperintah mengikuti kursus pemulihan akidah selepas menjalani hukuman itu.

Terdahulu, dalam kertas kerjanya bertajuk Sihir: Kesannya kepada Akidah dan Bagaimana Mengatasinya, Haron Din berkata, individu yang mengamalkan sihir dianggap murtad kerana amalan itu diharamkan dalam ajaran Islam dan pelakunya boleh dihukum bunuh, seperti diriwayatkan dalam beberapa hadis.

"Sihir menyebabkan mangsa tiba-tiba jatuh sakit tanpa sebab, bermusuhan, bercerai, gila, runsing yang kronik, malah boleh membawa maut," katanya.

Beliau berkata, sihir biasanya diperoleh dengan beberapa cara yang merosakkan akidah orang Islam, antaranya menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari, menulis ayat tertentu dari al-Quran dengan darah haid bagi dijadikan tangkal azimat, membawa al-Quran dalam tandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil, berzikir dengan perkataan yang tidak diketahui bahasa dan maknanya.

Katanya, umat Islam memandang ringan dan menganggap menemui ahli sihir sama seperti berjumpa doktor, tabib atau pawang bagi menyembuhkan penyakit sedangkan mereka tidak pasti kaedah yang digunakan ahli sihir berkenaan.

"Biasanya ahli sihir jarang dikenali sebagai ahli sihir dan tidak mengaku dirinya ahli sihir, sebaliknya mereka hanya dikenali sebagai tukang urut, bomoh, dukun atau pawang," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20091217000115/Article/index_html

Halim Fansuri – 17 Disember 2009/30 Dzulhijjah 1430H / 1300H)

p/s: ...masalah domestik/rumahtangga dan kes-kes murtad mahkamah syariah banyak lagi yang tak selesai, tersangkut, berlapuk, makan tahun nak selesai kenapa tak ditumpukan terlebih dahulu?.. Bagaimanakah undang-undang sivil/nyata nak dilaksanakan ke atas perkara ghaib yang tak nampak? Apakah kena guna kayu ukur atau neraca zahir yang nyata? Kitab Hikam tu kitab sihir juga ke pasal tu diharamkan?


Malleus Maleficarum (The Witche’s Hammer)

Kitab Malleus Maleficarum (dalam bahasa Latin dikenali sebagai "The Hammer of Witches", or "Der Hexenhammer" dalam bahasa Jerman) sebuah dokumen treati mengenai ahli sihir, ditulis dalam tahun 1486 oleh Heinrich Kramer dan Jacob Sprenger, dua Inquisitors Gereja Catholic/Vatican, dan pertama kali diterbitkan di Jerman dalam tahun 1487. Tujuan utama Malleus adalah untuk mematikan hujah yang mengatakan sihir tidak wujud, menjawab hujah mereka yang skeptis tentang kewujudannya, membuktikan yang ahli sihir itu selalunya wanita daripada lelaki, dan untuk mendidik para majistret mengenai prosedur mengenal-pasti tukang sihir dan menyabitkan tuduhan kesalahan ke atas mereka.

Ianya dikenali juga sebagai buku yang paling ‘ganas’ pernah ditulis, mewujudkan sebuah kod peraturan yang cukup ketat dan keras berdasarkan dongeng dahulukala mengenai ilmu sihir dan dogma gereja mengenai kesesatan (heresy).

Buku ini juga memuatkan “fatwa” Papal Bull, Summis desiderantes affectibus, 1484, yang secara efektif melenyapkan segala tentangan terhadap aktiviti pemburuan ahli sihir (witch hunts).

Ianya menjadi manual kepada ratusan mereka yang dipanggil ‘Orang Suci’ (“holy” men), untuk mendera penganut Kristian wanita. Terdapat jua ‘pengamal sihir’ lelaki yang dihukum, namun lebih banyak wanita Kristian yang diseksa dan dibunuh (biasanya disalib dan dibakar hidup-hidup seperti Joan of Arc).

Vatican mengharamkan buku ini pada 1490, dan diletakkan di bawah Index Librorum Prohibitorum. Bagaimanapun, ianya menjadi kitab panduan utama kepada pemburu ahli sihir (witch-hunters) and Inquisitors (pendakwaraya Vatican/Gereja Katolik) di sepanjang Zaman Gelap Eropah. Pihak Vatican tidak pernah meminta maaf atas kematian ribuan nyawa penganut perempuan mereka terhadap pembunuhan sistematik yang dilakukan sepanjang ratusan tahun. Walaupun mereka tidak bermaksud demikian pada asalnya, mereka tetap berkelakuan bodoh dengan tujuan asalnya untuk mengawal penganut perempuan mereka dari kebebasan bersuara dan hak samataraf.

Tuesday, December 15, 2009

Secangkir Kahwa Pengendur Urat

Secangkir Kahwa Pengendur Urat


si penunggu bertanyakan pada sepi

mengapa rindu ini tidak hadir

atau kekal selamanya

dalam hati yang mendambakan kasih

dan dalam pandangan mata yang yang hampa..


sepi menjawab

kerana takdir tidak memungkinkan kita

untuk bersama tika saat-saat genting ini hadir


si penunggu menggetus:

ah!

persetankan takdir!

aku sudah lama melara

menantikan basahnya hujan

dan dinginnya bayu yang menghantar

ambil aku pergi

dari kekecewaan ini sepi!

katanya lagi


sepi terus diam membeku

sepi faham akan runcingnya takdir

kejam dan dingin

yang sentiasa merenungnya

membisu dalam seribu,

tidak!

sejuta kata..


si penunggu terus terbakar

terseksa dipanggang api rindu

terjemur dalam bayang sendiri

kelemasan dalam air matanya

hanyut dalam dambaan kasih

kecewa dalam gengaman harapan

tersepit di tengah benua hati

hilang dalam sebuah misteri..


kini sepi pula yang menantinya

hari demi hari

siang berganti malam

terang berganti kegelapan

dalam saat berganti waktu

sehingga suatu hari nanti

takdir membawanya pergi

dalam senyap jerit tangis penentuan

dan rontaan ganas seribu kekakuan..


Halim Fansuri – 15 Disember 2009/28 Dzulhijjah 1430H / 1800H)

p/s: ...tika aku sendirian, aku harap kau sentiasa ada di sisiku..


Nota Kaki Pengalas Perut

Nota Kaki Pengalas Perut

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani

*Catatan tambahan: Sey amat meminati gaya penulisan FT, tapi bukan bawaan akidahnya. Sey ASWJ Mazhab Imam Syafiee dgn Kaedah Tauhid Asyairah wal Maturidiyyah. Pandangan ulama Sunni terhadap kitab Nahjul Balaghah (kumpulan khutbah, surat, dan kata-kata hikmat yang dinisbatkan kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib R.A.) adalah campuran antara pengakuan akan keindahan sasteranya dan kritikan terhadap kesahihan riwayatnya.Berikut adalah ringkasan pandangan Sunni terhadap kitab tersebut:1. Pengakuan terhadap Keindahan Sastera. Majoriti ulama Sunni mengakui bahawa Nahjul Balaghah adalah karya sastera Arab yang sangat tinggi nilainya. Muhammad Abduh(Tokoh Kaum Muda), bahkan pernah membuat syarah (penjelasan) ke atas kitab ini kerana kagum dengan balaghah (kefasihan) bahasa yang terkandung di dalamnya.2. Kritikan terhadap Kesahihan Riwayat - Walaupun dihormati dari segi sastera, ulama hadis Sunni umumnya berhati-hati dengan kandungan Nahjul Balaghah kerana:Tiada Sanad: Kitab ini dihimpunkan oleh Sharif Radhi pada kurun ke-4 Hijrah, jauh selepas kewafatan Sayyidina 'Ali R.A. (kurun ke-1 Hijrah). Kebanyakan khutbah di dalamnya tidak disertakan dengan sanad (rangkaian perawi) yang bersambung. Isu Kandungan: Sebahagian kandungan dianggap bertentangan dengan riwayat sejarah yang lebih sahih atau mengandungi cercaan terhadap para sahabat Nabi yang lain, yang mana ia diragui keluar daripada lidah Saidina 'Ali R.A..3. Sikap terhadap Isi Kandungan Bukan Sumber Utama: Dalam tradisi ilmu Sunni, Nahjul Balaghah tidak dianggap sebagai kitab rujukan hadis utama atau sahih seperti Sahih Bukhari atau Sahih Muslim. Boleh Diterima Sebahagian: Kata-kata hikmat atau nasihat yang tidak bertentangan dengan akidah dan sejarah Ahli Sunnah boleh diterima sebagai mutiara kata, namun tidak boleh dijadikan hujah hukum (dalil syarak) secara mutlak.Kesimpulannya, Sunni menghargai Nahjul Balaghah sebagai karya sastera yang hebat, tetapi tidak mengiktiraf seluruh isinya sebagai riwayat sahih daripada Saidina 'Ali R.A.Nota: Pandangan ini disimpulkan berdasarkan rujukan umum ilmu hadis dan ulasan ulama Sunni terhadap kitab tersebut.