Thursday, December 17, 2009

Sekadar Sebuah Renungan

Sekadar Sebuah Renungan

Berita Utama - Khamis, 17 Disember 2009/30 Dzulhijjah 1430H

Gubal undang-undang hukum pengamal sihir

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my

SHAH ALAM: Penggunaan ilmu hitam, termasuk bagi menundukkan suami atau isteri serta dalam aktiviti jenayah mendapat perhatian pakar agama yang menyarankan supaya undang-undang sihir diwujudkan untuk mencegah amalan itu berleluasa.

Saranan itu dikemukakan pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor di sini, semalam.

Pada sidang media selepas merasmikan muzakarah itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata undang-undang berkenaan boleh dimasukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam dan bagi bukan Islam pula perlu diwujudkan akta baru.

Beliau berkata, ketika ini pengamal dan pihak yang mengarahkan sihir itu dilakukan terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang berkaitan.

“Ilmu sihir sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera. Sehubungan itu, pengamal undang-undang dan pihak berkuasa perlu memikirkan bentuk undang-undang yang sesuai untuk mendakwa pengamal ini di mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil muzakarah itu akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa negeri untuk dibincang lebih lanjut sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional.

Ahli panel muzakarah itu, Datuk Dr Haron Din, pula berkata, peruntukan undang-undang bagi membanteras penggunaan sihir, terutama di kalangan orang Islam perlu diberi perhatian kerana wujud keadaan mendesak berdasarkan situasi semasa.

Katanya, ilmu sihir digunakan secara meluas untuk aktiviti jenayah, termasuk pukau, rompak dan samun di beberapa kedai emas seperti dilaporkan sebelum ini.

"Penjenayah dikatakan hanya menepuk belakang mangsa atau meniup asap rokok ke muka mangsa menyebabkan mangsa tidak sedar atau dipukau sebelum barang mereka dilarikan," katanya.

Katanya, walaupun ilmu sihir abstrak, pengamalnya mempunyai bilik khas dan menggunakan peralatan khusus untuk pemujaan seperti tengkorak haiwan dan senjata lama yang boleh dijadikan barang bukti.

Beliau mencadangkan supaya pengamal ilmu hitam itu disabitkan dengan undang-undang Takzir, iaitu bentuk hukuman diserahkan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara dan jenis kesalahan.

Katanya, sabitan mengikut Takzir memerlukan pembuktian yang lebih mudah dengan bukti secara langsung dan tidak langsung serta bukti sampingan lain, berbanding Hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah.

Antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah termasuk buang daerah, penjara dan sebatan (mengikut hukum syarak), selain diperintah mengikuti kursus pemulihan akidah selepas menjalani hukuman itu.

Terdahulu, dalam kertas kerjanya bertajuk Sihir: Kesannya kepada Akidah dan Bagaimana Mengatasinya, Haron Din berkata, individu yang mengamalkan sihir dianggap murtad kerana amalan itu diharamkan dalam ajaran Islam dan pelakunya boleh dihukum bunuh, seperti diriwayatkan dalam beberapa hadis.

"Sihir menyebabkan mangsa tiba-tiba jatuh sakit tanpa sebab, bermusuhan, bercerai, gila, runsing yang kronik, malah boleh membawa maut," katanya.

Beliau berkata, sihir biasanya diperoleh dengan beberapa cara yang merosakkan akidah orang Islam, antaranya menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari, menulis ayat tertentu dari al-Quran dengan darah haid bagi dijadikan tangkal azimat, membawa al-Quran dalam tandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil, berzikir dengan perkataan yang tidak diketahui bahasa dan maknanya.

Katanya, umat Islam memandang ringan dan menganggap menemui ahli sihir sama seperti berjumpa doktor, tabib atau pawang bagi menyembuhkan penyakit sedangkan mereka tidak pasti kaedah yang digunakan ahli sihir berkenaan.

"Biasanya ahli sihir jarang dikenali sebagai ahli sihir dan tidak mengaku dirinya ahli sihir, sebaliknya mereka hanya dikenali sebagai tukang urut, bomoh, dukun atau pawang," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20091217000115/Article/index_html

Halim Fansuri – 17 Disember 2009/30 Dzulhijjah 1430H / 1300H)

p/s: ...masalah domestik/rumahtangga dan kes-kes murtad mahkamah syariah banyak lagi yang tak selesai, tersangkut, berlapuk, makan tahun nak selesai kenapa tak ditumpukan terlebih dahulu?.. Bagaimanakah undang-undang sivil/nyata nak dilaksanakan ke atas perkara ghaib yang tak nampak? Apakah kena guna kayu ukur atau neraca zahir yang nyata? Kitab Hikam tu kitab sihir juga ke pasal tu diharamkan?


Malleus Maleficarum (The Witche’s Hammer)

Kitab Malleus Maleficarum (dalam bahasa Latin dikenali sebagai "The Hammer of Witches", or "Der Hexenhammer" dalam bahasa Jerman) sebuah dokumen treati mengenai ahli sihir, ditulis dalam tahun 1486 oleh Heinrich Kramer dan Jacob Sprenger, dua Inquisitors Gereja Catholic/Vatican, dan pertama kali diterbitkan di Jerman dalam tahun 1487. Tujuan utama Malleus adalah untuk mematikan hujah yang mengatakan sihir tidak wujud, menjawab hujah mereka yang skeptis tentang kewujudannya, membuktikan yang ahli sihir itu selalunya wanita daripada lelaki, dan untuk mendidik para majistret mengenai prosedur mengenal-pasti tukang sihir dan menyabitkan tuduhan kesalahan ke atas mereka.

Ianya dikenali juga sebagai buku yang paling ‘ganas’ pernah ditulis, mewujudkan sebuah kod peraturan yang cukup ketat dan keras berdasarkan dongeng dahulukala mengenai ilmu sihir dan dogma gereja mengenai kesesatan (heresy).

Buku ini juga memuatkan “fatwa” Papal Bull, Summis desiderantes affectibus, 1484, yang secara efektif melenyapkan segala tentangan terhadap aktiviti pemburuan ahli sihir (witch hunts).

Ianya menjadi manual kepada ratusan mereka yang dipanggil ‘Orang Suci’ (“holy” men), untuk mendera penganut Kristian wanita. Terdapat jua ‘pengamal sihir’ lelaki yang dihukum, namun lebih banyak wanita Kristian yang diseksa dan dibunuh (biasanya disalib dan dibakar hidup-hidup seperti Joan of Arc).

Vatican mengharamkan buku ini pada 1490, dan diletakkan di bawah Index Librorum Prohibitorum. Bagaimanapun, ianya menjadi kitab panduan utama kepada pemburu ahli sihir (witch-hunters) and Inquisitors (pendakwaraya Vatican/Gereja Katolik) di sepanjang Zaman Gelap Eropah. Pihak Vatican tidak pernah meminta maaf atas kematian ribuan nyawa penganut perempuan mereka terhadap pembunuhan sistematik yang dilakukan sepanjang ratusan tahun. Walaupun mereka tidak bermaksud demikian pada asalnya, mereka tetap berkelakuan bodoh dengan tujuan asalnya untuk mengawal penganut perempuan mereka dari kebebasan bersuara dan hak samataraf.

33 comments:

fakir al banjari said...

cadangan baik yang perlu disokong. bab yang lama tak selesaikan tu boleh atasi dengan cara lain. macam tambah pegawai.

yang tak selesai-selesai tu banyak sebabnya. macam kes sivil jugak, sampai berppuluh tahun pun ada.

tapi,orang salah tetap perlu dihukum. macam mana caranya, iar orang yang arif putuskan. aku yang tak tau ni ikut aje la

Oghang Ba Ado said...

1. fakir al banjari said...

"...cadangan baik yang perlu disokong."

2.
"...Katanya, walaupun ilmu sihir abstrak, pengamalnya mempunyai bilik khas dan menggunakan peralatan khusus untuk pemujaan seperti tengkorak haiwan dan senjata lama yang boleh dijadikan barang bukti."

3.
"...Katanya, sabitan mengikut Takzir memerlukan pembuktian yang lebih mudah dengan bukti secara langsung dan tidak langsung serta bukti sampingan lain, berbanding Hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah."

4.
"Biasanya ahli sihir jarang dikenali sebagai ahli sihir dan tidak mengaku dirinya ahli sihir, sebaliknya mereka hanya dikenali sebagai tukang urut, bomoh, dukun atau pawang," katanya.

5.
Kekanda Fakir menepati ciri-ciri no 2 di atas. ada simpan senjata, dan ada bilik (buat bekam orang, he he).. tunggu la mereka datang dan memaksa anda mengaku jadi ahli sihir (point no 4).. sokong tak memikir panjang..

Oghang Ba Ado said...

Kalau kat umah aku ada menyimpan tengkorak kepala rusa bertanduk, dan aku juga menyimpan keris pusaka, lembing pusaka dan lain-lain senjata lama.. ahli sihir la tu?

Oghang Ba Ado said...

ayah aku tukang urut.. ahli sihir ka? meh la datang buktikan!

fakir al banjari said...

cis, kau yang tak fikir panjang.

tu ciri-ciri orang yang amalkan sihir, bukan bermaksud semua yang ada benda-benda tu ahli sihir dan guna ilmunya untuk aniaya orang lain.

ciri-ciri ikan adalah duk dalam air, boleh berenang. tak semua yang duk dalam air dan boleh berenang tu adalah ikan. kau faham tak?

atau mungkin kau lebih arif dan berilmu berbanding mereka yang terlibat tu?

ataupun kau akan mengalah dan katakan "oleh kerana kita tak boleh nak buktikan, maka biarkanlah ahli sihir aniaya orang. selagi tak aniaya aku, lantak la kat dia"

Gelojak_Jiwa said...

meh aku santet sape2 yang buat OBA n abang fakir marah. Geram nih! geram! Aku santet guna serbuk besi dan paku yang aku beli kat kedai Yap tadi. hu hu

fakir al banjari said...

ha ha ha, budak-budak jangan menyampuk orang tua bersembang. ni cara kami bertukar pandangan, bukan marah.

atau kau suka hujah yang membelai jiwa semata?

Oghang Ba Ado said...

kah kah kah, potong stim betul la ko ni G_J! aku baru bersemangat naik hantu ni, kah kah kah.. nyampah, terus hilang steam, badut betul ko!

Oghang Ba Ado said...

Jika si tukang sihir ada bilik gelap berasap kemenyan, tengkorak, keris lama, dan lain-lain props, anda sudah tertipu dengan cerita-cerita drama sebenarnya..

Kalau ada pun tu cuma kaki kelentong peringkat rendah..

Tuan-tuan semua, mereka (ahli sihir) lebih advance daripada tu.. mereka tak memerlukan peralatan seumpama itu..

Teringat lakonan kekanda Nasir Bilal Khan sebagai watak 'Jongos', ketua mafia yang mengamalkan sihir.. kereta besar, kot mahal bermutu tinggi berjenama, dikelilingi wanita cantik.. apa guna ada kuasa tapi tak digunakan dan dok kat pondok buruk di ceruk desa? mana ada?

Orang bela hantu raya, atau pelesit.. .mana ada props sebegitu? pastu nak buat acid test dgn kaedah2 tertentu? ha ha ha.. serupa inquisitors masa zaman sepanyol/andalus yang banyak paksa org islam dan yahudi masuk kristian (nasrani versi sesat) secara paksa..

Sejarah telah membuktikan, undang-undang seumpamanya digunakan untuk tujuan politik dan menekan rakyat(main cekup aja lepas tu tuduh).. sejarah akan berulang, cuma pelakon, watak, latar tempat, dan masanya sahaja yang berlainan..

Kita ada beribu tukang perubatan islam - darul syifa', darul itu, darul ini, mengapa tak dikembangkan? kenapa tak disebarluaskan? mereka kan pakar dalam bidang anti sihir? serahkan pada orang-orang ni! banyakkan klinik seumpama ini, ajar semua orang kepandaian ini di masjid2 dan surau2, ambil tauliah dari jabatan agama negeri..

Ini tidak, duduk setempat, usaha dakwah tak ada. nak cakap bab agama sibuk tanya tauliah dulu (ni selangor la ni), kalau kata orang tu wahabi, kenapa tak ajak muzakarah, takut? takda ilmu? (ni JAIS la ni yang dipolitikkan), jabatan agama ni la yang sibuk nak buat undang-undang sihir tapi kes dr asri pun tak lepas lagi.. mendakwa orang dengan tak ada kaedah teknikal yang betul dan main cekup aja, dah tu sibuk pi turun naik mahkamah dgn si asri wahabi tu.. jadi kes pulak..

sabitan mengikut kaedah takzir la katakan... guna bukti sampingan..

Eihdar2@gmail.com said...

Usaha dakwah, penerangan , penyampaian ilmu mesti selari dgn undang2 yg nak dijalankan. Ini boleh diqiyas dgn kes mencuri di zaman saidina umar. Oleh kerana suasana masa tu tak mengizinkan, maka pesalah tak dapat dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana masalah kebuluran yg melanda. Jika dikias dgn zaman sekarang, cerita hantu, seram, buku2 tahyul masih berlambak. Satu lg ada perbahasan dlm feqah berdasarkan mazhab2. Antaranya penyihir dihukum bukan kerana sihir itu kerana sihir tak nampak dan segala hukuman mesti ada bukti dan zahir. Tetapi kerana sbb mendatang spt jika ia murtad, dihukum hukuman murtad, jika mencuri dihukum hukuman mencuri, jika membunuh hukuman bunuh dsb.

Oghang Ba Ado said...

terima kasih.. ni yang nak di dengar ni.. so, bunuh dah masuk jenayah sivil bukan? tapi macam mana nak buktikan dengan hal ghaib/agama sedangkan bukti pembunuhan memerlukan bukti forensik yang nyata?

saya beri satu situasi:

A kena bunuh dengan B melalui sihir: apa bukti forensik yang nak disabitkan? paling tidak dia boleh dikenakan tindakan, katalah murtad, atau menipu (berdasarkan props yg dirampas) tetapi dari segi pendakwaan dia boleh buang kes kerana tuduhan asal dia bunuh, bukan sihir.. nak buktikan macam mana?

Mona Fendi dan pembantunya disabitkan kesalahan bunuh setelah ada mayat, alatan, lokasi, dan kaedah - itupun semuanya hal nyata bukan? sila ustaz berikan penerangan..

fakir al banjari said...

sebagai orang jahil lebih baik aku sokong dalam diam. biar orang yang bidangnya yang buat kerja. secara dasar, itu usaha baik.

mungkin ada kelemahan awalya, tapi pengalaman membolehkan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa. kalau nak sempurna pada uaha pertama,itu dah lari dari hukum alam yang lazim. manusia dipenuhi kelemahan.

kalau nak bandingkan kaedah yang dipakai oleh orang kafir dengan yang berpandukan Islam adalah tidak adil lagi meletakkan Islam pada tempat yang tidak patut. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi.

dalam Islam ada cara dan peyelesaiannya sebab Islam diturun untuk mengatur hidup seluruh manusia dan alam. InsyaAllah jika Islam dasarnya, ia akan berjaya dilaksanakan.

kenapa OBA tak setuju? adakah BA adalah salah seorang ahli sihir tidak diketahui yang bimbang dia akan dikenakan tindakan? takut?

Gelojak_Jiwa said...

haha! nampaknya OBA dan abang fakir dah makan jerat aku.

Nampak tak aku kata tadi aku nak santet dengan serbuk besi dan paku?

Apa jika ada paku di rumah takkan nak dakwa aku santet orang? Sape yang boleh buktikan beli besi dan paku sebab nak santet orang?

Bukankah ini akan mengundang pelbagai fitnah dan tohmahan yang lebih memberi keburukan kepada manusia.

Entah nanti orang benci kat aku, dia report kat Jabatan Agama sebab aku simpan keris sebab amal ilmu sihir. Padahal aku nak bersilat je. Aku jugak yang kena.

Yang pertama kena tangkap mesti ckg azman sebab dia ada keris, perasap kemenyan, bagi orang kemenyan, limau nipis, pisang, bunga 7 jenis, beli jarum lepas tu buang dalam laut.

Lihat zaman nabi Musa, ada ke undang-undang tangkap ahli sihir? Bukankah nak lawan sihir adalah dengan menunjukkan mukjizat Allah apabila tongkatnya bertukar menjadi ular dan menelan hidup2 semua ular sihir tadi.

Jadi saya sokong pendapat OBA supaya dibanyakkan tempat mengajar perubatan Al-Syifa' dan sebagainya yang bersumberkan Islam untuk melawan sihir ini. Selain itu, boleh juga dibanyakkan silat yang selari dengan ajaran Islam supaya kita dapat mencegah amalan sihir.

Takkan nak buat undang2 bunuh seperti kerajaan England zaman KNIGHT dulu. Siapa yang amalkan sihir mesti ditangkap, hukuman berat dan dibunuh. Tengok MERLIN, dia pun amal sihir tapi tak jahat pun. Saya tak setuju jika Merlin dibunuh oleh Uther. Malah dialah yang bantu selamatkan kerajaan Uther.

Masalahnya sekarang ini bukan undang-undang sihir tu, tetapi masalah akidah. Buatlah undang-undang banyak manapun selagi akidah tak betul tetap berlaku juga.

Dalam Kalut ada Peraturan
Peraturan cipta Kekalutan..

Dalam Islam mesti ada bukti, takde bukti tak boleh sabit. Sebab tu nabi pernah kena sihir xde la pulak dengar nabi ambil tindakan erhadap penyihir. Tk tau la pulak kalau hamba ni dangkal ilmunya.

Memang kita boleh setuju dengan cadangan nak bawa ke arah kebaikan tapi apakah punca sihir ni? Apa masalah pokok dia? Itu yang kita kena selesaikan dulu.

Tengok orang-orang dulu bersilat, macam2 amalan khurafat yang diaorang amalkan. Lalu datangnya golongan2 sufi belajar silat dan telah menukarkan amalan-amalan khurafat ini kepada amalan Islam.
Contoh
Dulu nak dapat ilmu Batin kena pergi bertapa di gua, tak boleh berganjak 3 hari 3 malam beras genggam je di tangan. (ini pengalaman yang diceritakan sahabat saya sendiri)Sekarang ada amalan Al-Ikhlas 70 rb kali yang lebih baik dan berlandaskan al-quran dan sunnah. Bukan pergi bertapa sampai tak sembahyang tak mengaji Al-Quran.

Nah, perkara yang penting sekarang adakah mewujudkan undang-undang sihir atau menegakkan undang-undang Islam?

Gelojak_Jiwa said...

Teringat seorang guru saya bernama ustaz ulumuddin ketika dia merawat penyakit sihir.

Ibu saya ada 7 ekor jin menginap dalam tubuhnya, dia keluarkan seekor melalui tubuh saya tanpa diketahui ibu kami dan kami membuangnya ke sungai pahang.
Esok pagi, ibu saya bangun dengan tubuh yang lemah dan memberitahu bermimpi melihat badan seolah-olah toyol berkepala botak dan menyerupai wajah ustaz tersebut.
Ibu kami marah teramat sangat sampai dia haramkan kami buat begitu lagi dan menuduh ustaz tersebut sesat dan mengamalkan sihir padahal dia juga yang membawa dan memperkenalkan rakan-rakannya pergi berubat. Tapi itu adalah kesan jin terbabit yang marah diusik lalu dijelmakan rupanya untuk memfitnah ustaz terbabit.

Kenapa Saidina Umar Al Khattab amat risau dengan golongan munafik? kerana xde bukti mereka munafik walaupun ada tanda-tandanya. Kenapa kita tak wujudkan undang-undang untuk orang munafik sebab mereka ini lebih lagi meroakkan Islam, membunuh dan menyebabkan ramai orang Islam masuk neraka.

Jadi saya kurang menyokong untuk menubuhkan undang-undang sihir tetapi menyokong jika usaha untuk menyedarkan dan menewaskan golongan yang mengamalkan sihir ini.

Sekali lagi saya tekankan, bukanlah undang-undang sihir itu yang perlukan perhatian tetapi undang-undang Islamlah yang sepatutnya diberi perhatian yang lebih serius. Kerana jika undang-undang Islam telah tertegak, sihir bukan lagi menjadi masalah.
Saya tidak mahu ianya menjadi fitnah kepada orang0orang yang tidak bersalah.

fakir al banjari said...

bantahan,

kita kena keluar dari pemikiran budak PMR, penuh pilihan objektif yang hanya satu sahaja jawapan yang betul.

hidup penuh pilihan dan kita tak hanya perlu pilih satu sahaja

saya setuju, tapi lebih berpandagan kita kena bua dua-dua dan banyak usaha lain lagi yang perlu berjalan seiring. undang-undang tak dibuat sesuka hati yang akhirnya akan menindas, walapun banyak kes sedemikian lantaran tidak belandas syariat. Untuk satu undang-undang diterimapakai bukan perlu masa sehari dua tetapi memerlukan masa bertahun yang didasar kajian terperinci

jika kita beranggapan dengan melaksanakan penyebaran agama secara menyeluruh maka semua masalah akan selesai, maka itu tidak tepat.

Islam yang sempurna itu sentiasa memberi ruang uatna berfikir, mengkaji dan bertindak mengikut situasi dengan panduan wahyu Ilahi dan huraian Baginda Nabi.

Melaksanakan undang-undang Islam adalah salah satu cara memelihara umat. bukan satu-satunya cara.

memperbanyakkan tempat mempelajari mengenai cara menangani sihir cadangan yang baik, tapi bukan satu-satunya cara. pelbagai cara selagi ada ruang usaha perlu dilaksana sebagai ikhtiar. undang-undang sebagai jalan terakhir tetapi tetap sebagai keperluan. Pengajian di masjid, TV, radio, sekolah dan sebagainya.

Namun kita perlu akui kepelbagaian minat dan pemikiran manusia. bukan semua orang percaya akan sihir sehinggalah mereka menjadi mangsa.
bukan semua orang mahu mengetahuinya

mautauka said...

promosi!!!

kain kuning semeter RM2.50.

harga potongan 50% sekiranya anda menunjukkan kad ahli sihir.

Gelojak_Jiwa said...

ya,memang hamba berfikiran budak PMR. Cuba bayangkan entah berapa ramai manusia yang berfikiran UPSR dan TADIKA yang entah apa pula hujahnya, langsung tak bersandar pada dalil naqli atau aqli dan hanya bersandar nafsu semata-mata.

Kenapa jadi begitu? Ini kerana mereka tiada ilmu dan kefahaman mengenai perkara tersebut dan akhirnya takkan kerana kebodohan hamba dan mereka ini tadi kami dihukum perkara yang kami tidak tahu?

Sebab itu saya kata saya sokong jika usaha untuk menyedarkan dan mengekang amalan sihir dijalankan tetapi tidak setuju undang-undang sihir dijalankan kerana masih ramai yang tidak tahu. Saya tetap pertahankan hujah dangkal saya bahawa kita perlu menyedarkan masyarakat dengan ilmu dan hukum Islam dahulu. Jika buat juga, baru kita fikirkan hukuman.

Tetapi harus diingat, saya juga menyokong jika dengan undang-undang sihir ini, secara hakikatnya undang-undaNG islam dijalankan secara murni dalam hukuman itu. Saya kata undang-undang Islam dan bukannya hudud. Hudud adalah sebahagian.

Kerana manusia munafik dan kafir ssangat geger apabila mendengar nama HUKUM ISLAM, maka dengan undang-undang sihir, hukum Islam itu dapat dijalankan tanpa mereka sedari.

memang benar kata abang fakir, undang-undang dicipta memakan masa yang lama, difikir dengan serius dan mengambil kira maslahat umat, tetapi haruslah kita ingat, PERLEMBAGAAN REID juga mengambil masa yang lama dan menimbangkan pelbagai perkara namun lihatlah apa yang terjadi sekarang.

Jika benar undang-undang sihir itu dibuat berlandaskan hukum-hukum Islam memang saya sokong 100%! Tetapi saya khuatir jika ia adalah bersifat PERLEMBAGAAN atau seperti Bank Islam, nama je Islam, tetapi lebih teruk dari bank lain (no. 3) maka yang teraniaya adalah rakyat iaitu kami budak tadika, upsr, PMR, SPM, Universiti, Master dan PHD.

Akhirnya jadilah seperti negeri Perak darul Kartun sahaja..

fakir al banjari said...

ok, aku nak kain kuning 5 meter, buat tutup kereta. kalau tak kunci pun orang tak beani kacau macam bomoh kat kampun aku buat.

Kalau tak pandai jangan salahkan cikgu yang mengajar, hidup dah berpuluh tahun, dah beribu tempat ajar agama bahawa sihir tu haram, yang kau habihkan masa pi belajar sihir jugak, tapi tak mau pi masjid/surau/pondok/tegok rancangan agama di TV (tapi bola tengok plak)/atau di radio tu buat apa?

orang nak buat tazkirah sebelum jumaat atau masa solat tarawih ada yang tak bagi. pas tu salahkan orang lain dia tak pandai ilmu agama.

maleh den nak pikio, den nak balik ganu hari ni. nak pi makankepok lekor sambil baca doa pelindung sihir

Gelojak_Jiwa said...

jangan lupo belikan eden kopok lekor! nanti balik dari terengganu singgah le kat kuantan! hehe..

Zam zam ala kazam!

Oghang Ba Ado said...

18 Dec 09, 22:59
GelojakJiwa: bunuh orang menggunakan sihir tak kena hukum hudud ke?

19 Dec 09, 00:17
GelojakJiwa: bukan ke datuk haron din kata ada dalam Islam hukum bunuh untuk pengamal sihir? konpius..

fakir: bunuh masuk takzir la. bnuh balas bunuh. darah balas darah. duit balas duit. paling baik adalah mangsa memaafkan

Oghang Ba Ado said...

fakir al banjari said...

1. dalam Islam ada cara dan peyelesaiannya sebab Islam diturun untuk mengatur hidup seluruh manusia dan alam. InsyaAllah jika Islam dasarnya, ia akan berjaya dilaksanakan.

- (Perlembagaan Malaysia bukan perlembagaan Islam, ianya bersifat sekular - Al Qur'an tidak boleh mengatasi perlembagaan, ini terjemahan perlembagaan yang dinyatakan oleh ahli parlimen kita dari parti pemerintah beberapa waktu dahulu. Ini menjadi dalil hamba mengapa tidak mengundi kerana hukum Islam bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia)

2. kenapa OBA tak setuju? adakah (O)BA adalah salah seorang ahli sihir tidak diketahui yang bimbang dia akan dikenakan tindakan? takut?
- ada dua sebab:
pertama - pertuduhan sihir berdasarkan bukti sampingan dari kesan 'sihir' itu sendiri yang tidak dapat dibuktikan melalui kaedah forensik. jika bukti sampingan diambil sebagai bukti kes, sebagai contoh kes: jika individu X membuat pertuduhan ke atas cikgu man yang mempunyai bahan/perkakas yang boleh disabitkan, beliau boleh disabitkan kesalahan atas perbuatan yang kaedah dan caranya meragukan.

kedua: kes pembunuhan/kecederaan/deraan mental fizikal adalah kes sivil yang berbentuk sekular. adakah undang-undang itu nanti di bawah kes sivil yang memerlukan pembuktian forensik? jika ianya nanti di bawah kes syariah, maka serta-merta undang-undang ini tertolak kerana bercanggah dengan perlembagaan dan mengatasi undang-undang sivil. bagaimanakah pula jika pelakunya bukan orang Islam? nak jadi kes sivil atau kes syariah? bolehkah penganut agama lain dituduh di mahkamah syariah? sila ambil kes khalwat sebagai contoh.

ketiga: saya bukan ahli sihir. tapi saya ada simpan koleksi barangan/senjata antik. adakah saya sabit kesalahan sebagai tukang sihir dengan pembuktian sampingan itu nanti?

keempat: tak dapat tidak saya memang bersetuju dengan undang-undang munafik kerana mereka yang berbuat sihir adalah orang islam yang munafik. apabila telah ada kefahaman islam yang mukmin, makanya akan kurang orang islam yang munafik, dan secara logiknya akan kuranglah jumlah mereka yang AKAN melakukan sihir, rasuah, penipuan, nepotisme, penyalahgunaan kuasa, hasad, dengki, curi, rompak, maksiat, judi dan lain-lain lagi masalah sosial.. adalah lebih mudah membuktikan seseorang itu bersifat nifaq berbanding nak membuktikan seseorang itu melakukan sihir yang bersifat abstrak dan ghaib.. bukankah Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dibunuh oleh golongan munafik? bukankah golongan munafik yang mencetuskan perang jamal dan siffin yang mencetuskan zaman fitnah yang mengorbankan ribuan sahabat dalam peperangan tersebut? bukankah Syiah dan wahabi dicetuskan oleh golongan munafiqin pada asalnya?

p/s: minta elakkan menyerang pribadi rakan-rakan kita. saya menasihatkan diri saya dan rakan-rakan sekelian..

fakir al banjari said...

sorry kalau tuan OBA tak senang dengan cara saya. tapi sapa-sapa nak serang peribadi dan hujjah saya silakan, sebab saya bukan sempurna.

tu pasai den kato, den ni tak pandai, jadi biar la orang yang terlibat dalam bidang perbomohan dan perubatan halus ni yang buat kajian dan perhalusi undang-undang ni jika nak laksanakan.

kalau den bagi hujah, tapi didasari pandangan den yang tak arif dalam bidang ni, ia akan jadi den syok sendiri dengan pandangan den walhal pandangan orang dalam bidang ni adalah mungkin lain dan tidak dapat den fahami. maknanya mungkin pandangan den salah dan tak boleh dipakai langsung di kalangan ahli yang arif, tapi den pulak yang lebih-lebih halang dari dilaksanakan.

lebih baik sokong ia dikaji untuk dilaksanakan dari bantah sebelum ada perincian. semata-mata kerana pandangan den yang tak arif.

den tuliskan sekali lagi, yang dikatakan adalah ciri-ciri ahli sihir. tapi bukan semua yang ada ciri tu adalah ahli sihir. ahli sihir biasanya ada keperluan-keperluan tu (kebiasaan ye, bukan semestinya).

tapi ada juga orang yang ada benda-benda tu tapi bukan ahli sihir. mengkome semue masuk dalam bukan ahli sihir la kut.

pembunuh selalunya ada senjata (selalunya, bukan semestinya). tapi bukan semua yang ada senjata adalah pembunuh. jelas tak?

fakir al banjari said...

mungkin undang-undang sihir tak dapat benteras 100% pengamalan sihir. tapi kalau ada seorang yang benar-benar dapat dibuktikan bersalah melalui undang-undang tersebut, dan diberi liputan meluas di media (media suka berita sensasi), mungkin ia dapat menggentarkan pengamal sihir yang lain. dapat kurangkan satu kes pun dah dianggap kejayaan. berbanding tak buat apa-apa kerana rasa susah nak laksana

saya tegaskan lagi, usaha penyebaran agama tetap perlu dilaksana sebagai agenda utama. tapi kalau kita bergantung kepada dakwah semata, ia bukan satu-satunya penyelesaian.

umat munafik tetap akan ada pada bila-bila masa. hatta di zaman Baginda Nabi pun ramai, tapi kenapa tidak ada tindakan diambil terhadap mereka? kerana munafik dan fasiq bukan jenayah dalam Islam yang boleh dikawal melalui undang-undang. bab hati tidak dikawal undang-undang. yang dikawal bila ia melibatkan penganiayaan terhadap orang lain.

undang-undang sihir tak dibuat untuk pengamal sihir yang tak aniaya orang lain. (ada ke sihirian yang tak aniaya orang?)

jangan lupa, di zaman Baginda Nabi ada orang murtad, berzina, munafik, fasiq, zalim. walhal peribadi Baginda masih tetap jalankan dakwah di samping para sahabat terulung. tak terbanding kita ni.

maka kerana itu Islam punyai undang-undang jenayah seperti takzir, hudud - undang-undang Islam.

kalau kita nak tunggu semuanya sempurna 100%, itu terlalu idealis untuk kita.

mudahnya, kalau Islam kuat, kita bertindak secara orang kuat. Apabila umat Islam dalam keadaan lemah, buat cara lemah. jangan tak buat apa-apa sebab lemah

Gelojak_Jiwa said...

Adakah saudaraku OBA berasa terkejut dengan serangan sekecil itu? Bagaimana ingin berperang di medan peperangan yang lebih besar jika serangan umpama nyamuk itu pun dah tergaru-garu? hehe...

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya amat menyokong undang-undang sihir jika sekiranya memang berdasarkan undang-undang Islam. Namun jika hanya bersifat kulit seperti undang-undang syariah kini yang bukan 100% islam (bukan semua), mungkin akan ada yang menjadi mangsa atau tidak adil.

Namun pendapat abang fakir itu juga saya bersetuju kerana teringat pada hadis nabi yang bermaksud lebih kurang "jika kamu lihat suatu kemungkaran, kamu tahan dengan tangan kamu, jika tidak mampu, tahan dengan lidah kamu, jika tidak mampu juga, maka bencilah perbuatan itu dalam hati kamu. Maka itulah selemah-lemah iman". (betulkan jika salah)

Jadi teruskanlah dengan usaha-usaha sama ada penerangan, klinik atau undang-undang/hukuman kerana sudah tentu orang yang lebih arif memikirkan dengan lebih baik dari kita berdasarkan dalil yang jelas lagi nyata. Hamba hanya budak-budak PMR (cheewah) dan tidak layak untuk membicarakan soal ini lebih-lebih lagi tak terlibat dengan kebatinan/sihir.

Yang penting saya telah memberikan pendapat saya yang mungkin adalah juga pendapat orang yang tidak arif mengenai isu ini dan fikirlah jawapan untuk mereka yang tidak memahami perkara ini. Macam yang saya katakan, ada yang masih berfikiran tadika malah mungkin teruk dari itu. Berapa ramai yang masih lagi tidak tahu apakah makna sihir sebenarnya?

Macam kata abang fakir, orang nak buat tazkirah selepas tarawikh kau larang!

Ceramah agama dah le kau tak pergi, kau tak bagi permit pulak tu! Asyik-asyik dengar ceramah "belilah barang buatan Malaysia, Jihad kununnya" Kau seorang je yang betul!

Wallahua'lam..

Gelojak_Jiwa said...

Soalan :

situasi 1

seorang pemuda pergi belajar suatu ilmu batin dengan mengamalkan zikir, pada akhir pelajarannya belakang beliau dilibas dengan parang tajam tapi tak lut.

situasi 2

sekumpulan pemuda belajar ilmu senjata, ketika pengkhataman, senjata itu ditetak dan dihiris pada kulit kumpulan pemuda itu namun tidak lut dan tidak cedera.


Soalan saya, adakah kedua-dua situasi ini

A) SIHIR
B) IRHAS
c) MUKJIZAT
D) MAUNAH
E) KARAMAH
f) BUKAN JAWAPAN DI ATAS

Jika jawapan anda adalah (F), Sila nyatakan.

Oghang Ba Ado said...

nak aku jawab ke? he he he.. nanti dulu.. hamba nak dengar pendapat orang lain dulu.. ada dah hujahnya.. simpan dulu.. lagipun tengah buat kajian kes lain..

hamba tetap menentang jika undang-undang ini dijalankan BUKAN kerana sihir tidak wujud, ataupun kerana ianya kelihatan tidak logik dan melucukan, ataupun hamba mengamalkan sihir, TETAPI kerana:

a)kaedah prosedur sabitannya tidak jelas.

b)mahkamah syariah MEMANG ADA kuasa sivil TETAPI ianya ada HAD dan ianya bersifat TERHAD dan TIDAK BOLEH melangkaui kuasa mahkamah sivil

c)jika undang2 sihir dijalankan, automatik ianya akan melanggar Bahagian 2 Perlembagaan Pesekutuan fasal 1 dan fasal 3. jika dibuat juga, ianya akan menyerupai akta keselamatan dalam negeri (ISA) yang bercanggah dengan kedua-dua fasal tersebut.

d)melarang rakyat dari membincangkan (baca:mengkritik) hal perundangan (samaada mengundi atau tidak) adalah bertentangan dengan fasal 6 yang menyentuh hak kebebasan bersuara. ini memang apa yang ahli politik pemerintah kini mahukan supaya mudah mereka mengawal dan memanipulasi sekumpulan individu yang tak boleh berfikir, bercakap, mendengar dan melihat. tuan serupa ahli politik inikah?

e)sesuatu Rang undang2 akan menjadi undang-undang apabila telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta dipersetujui oleh YDP Agong (sila rujuk kembali proses penggubalan undang2). soalan: adakah semua ahli parlimen dikedua-dua dewan itu AHLI dalam bidang sihir? (ini termasuklah datuk seri s. samy vellu dan datuk seri anwar sendiri yang ada pertuduhan kes zahir, tapi tak dapat nak dibuktikan lagi?)

harus dingat, kelulusan suatu Rang undang-undang memerlukan majoriti 2/3 di parlimen. jika di letakkan di bawah Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama Islam, ianya akan berada di bawah majlis agama negeri masing-masing dan ianya tidak akan ada keseragaman.

Oghang Ba Ado said...

Gelojak Jiwa Said:

Soalan :

situasi 1

seorang pemuda pergi belajar suatu ilmu batin dengan mengamalkan zikir, pada akhir pelajarannya belakang beliau dilibas dengan parang tajam tapi tak lut.

situasi 2

sekumpulan pemuda belajar ilmu senjata, ketika pengkhataman, senjata itu ditetak dan dihiris pada kulit kumpulan pemuda itu namun tidak lut dan tidak cedera.

jawapan:
sila rujuk kembali pada amalan. adakah jampi mentera atau ayat al quran. jika jampi mentera adakah ianya salah dari syariat?

bagaimana pula jika ianya ayat haqiqat? (yang biasanya nampak macam salah dari segi syariat tetapi jika dihalusi segala dalilnya ada dalam alquran dan hadis).

khataman atau ujian adalah untuk menilai sejauhmana kejazaman (keyakinan) pada:
1. doktrin amalan
2. prosedur amalan
3. kesediaan mental dan jiwa pengamal.
4.tekad pengamal itu sendiri.

ianya juga sepertimana yang kekanda fakir sebutkan dalam blognya: untuk mengajar murid akan kuasa dan kebesaranNya yang mampu melepasi dan melanggar proses serta konsep sebab dan akibat. namun ianya jua tetap berbalik pada amalan samaada bercanggah atau tidak..

Gelojak_Jiwa said...

Ini mungkin terkeluar dari tajuk, tetapi nampaknya hamba perasan OBA telah mengaitkan kebebasan hak bersuara dan undang-undang sihir dengan perlanggaran perlembagaan negara dalam menguatkan hujahnya.

Bukankah dalam kenyataannya sebelum ini OBA telah menyatakan tidak mengundi kerana PERLEMBGAGAAM yang bukan berlandaskan hukum Islam? Ini bermakna beliau menolak PERLEMBAGAAN itu.

nampaknya OBA telah terkeliru dan dengan sengaja telah cuba menegakkan benang yang basah dengan menggunakan hujah PERLEMBAGAAN yang beliau sendiri menolaknya.

Atau adakah OBA cuba menjadi sekerat singa sekerat harimau? Batal hujah beliau! hu..hu..

Oghang Ba Ado said...

heh heh..undang-undang TIDAK BOLEH MENGATASI perlembagaaan! (macam mana nak memerintah ni? sistem kerajaan pun tak tahu?).

... dan tajuk ini relevan dengan tajuk utama kerana Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah tempat di mana undang-undang dirangka, diusul dan dibahaskan serta DILULUSKAN. Ahli politik adalah Law maker kita dan kebanyakkan mereka adalah mereka yang tak ada pendidikan tinggi dan Cap Ayam!

Pemesongan Fakta! Serta tuduhan yang tidak berasas yang dilakukan oleh G_J untuk menjatuhkan kredebiliti hamba!

tidak mengundi bermaksud MENJALANKAN HAK MEMILIH dengan cara menjalankan HAK UNTUK TIDAK MEMILIH atau MENGUNDI, diulangi: HAK UNTUK TIDAK MEMILIH atau MENGUNDI atau menjadi ahli, atau memberikan sokongan pada parti-parti tertentu dan ini tidak ada berlawanan dengan hak-hak asasi individu di dalam:

a)Bahagian 2 (Kebebasan Asasi) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Perkara 6 (Keabdian dan Kerja Paksa Dilarang)Fasal 2.

b) Fasal 9 (larangan buang negeri, dan kebebasan bergerak),

c)fasal 10 (kebebasan bercakap, berhimpun, dan menubuhkan persatuan) dan,

d)fasal 11 (kebebasan ugama)

Tidak ada sebarang individu pun yang boleh dipaksakan sebarang fahaman atau tekanan sosial dan psikologi ke atasnya supaya menyokong sesebuah 'parti' atau 'pemerintahan. (cuma komunis & nazi aja yg buat begini).

jika hamba inginkan sebuah daulah Islamiah, maka cara menegakkannya melalui cara undi demokrasi berasaskan perlembagaan Malaysia, tidak akan, dan malahan mustahil tercapai untuk tempoh 1000 tahun sekalipun. bagaimana untuk mengubah perlembagaan jika majoriti 2/3 parti pembangkang sendiri adalah mereka yang kafirin (DAP), liberal dan sekular?(PKR) logik ke?

bayangkan jika ada orang2 keris datang rumah awak, ugut2 supaya memangkah mereka dalam pilihanraya, bukankah salah dari segi perlembagaan dan undang-undang?

cara terbaik untuk PROTES di atas kepincangan ini adalah dengan TIDAK MEMILIH/UNDI TIDAK PERCAYA/BOIKOT PILIHANRAYA. Adakah G_J nak maksudkan PEMBERONTAKAN BERSENJATA sebagai cara TIDAK SETUJU dengan kepincangan politik kita? Hamba cabar G_J supaya merujuk kembali perlembagaan persekutuan!

Gelojak_Jiwa said...

Hamba rasa jika ingin dilanjutkan perkara ini mungkin OBA perlu membuka lembaran baru. Kerana ini sudah menyentuh perlembagaan dan hak asasi. Mungkin akan sedikit atau mungkin juga jauh terlari dari matlamat asal post ini.

Jadi hamba memilih untuk menyahut cabaran itu jika dibincangkan dalam post yang lain. Bagaimana pendapat Tuan OBA?

Oghang Ba Ado said...

Terima kasih kepada adinda kesayanganku G_J.

Insyaallah, alhamdulillah ada yg dah perasan tujuan asal hamba postkan tajuk ini di teratak buruk hamba. Insyaallah, hamba akan postkan dalam artikel "apa hak individu dalam tahanan polis".

hamba berpendapat segala ulasan tuan-tuan semua tajuk ini berkaitan, kerana ianya memang merujuk terus kepada perkara perundangan yang tak dapat tidak akan menyentuh soal perlembagaan dan hak-hak rakyat.

malangnya rakyat marhaen/golongan proletar kita kerap kali diiniyai oleh undang2 tak munasabah yang jelas bertentangan dengan perlembagaan kita akibat beberapa masalah yang kita akan bincangkan nanti..

rakyat kita dimomok-momokan supaya takut kepada pihak polis dan pihak yang melaksanakan undang-undang kerana kita tak tahu law.

.. nak upah lawyer, mana la pakcik tanam sayur tu tahu dan mampu? pak cik tukang urut tu mana tahu dan mampu? pak cik bomoh tu tak tahu dan tak mampu? kita kena letak diri kita dalam keadaan mereka yang daif dan kurang pengetahuan-pengetahuan yang rumit2..

..akhirnya undang-undang yang sepatutnya melindungi rakyat menjadi alat pihak2 tertentu untuk berkuasa dan menakut-nakutkan rakyat, polis (yg sepatutnya jadi law enforcer dan pendekar pelindung rakyat) terjelir lidah dan menyalak2 menjadi anjing garang pihak pemerintah!

Inilah JIHAD KITA! kita berikan KESEDARAN dan PENDIDIKAN kepada RAKYAT!

Oghang Ba Ado said...

hamba teringat kenyataan yang dibuat oleh KPN kita Tan Sri Musa Hassan dalam sebuah sidang akhbar (disiarkan di tv3) akhir 2007, tak silapnya ia berbunyi begini:

'..pihak polis mengalami masa yang sukar sepanjang tahun ini kerana rakyat sudah mula celik (baca: melawan melalui) undang-undang..

mentaliti barua penjilat tahi!

Gelojak_Jiwa said...

haha! memang benar katamu sahabatku.. Aku yang pada asalnya tidur terus tersedar dari lenaku dan terus bangkit! Nantikan kedatanganku hujung minggu ni! InsyaAllah!!!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani

*Catatan tambahan: Sey amat meminati gaya penulisan FT, tapi bukan bawaan akidahnya. Sey ASWJ Mazhab Imam Syafiee dgn Kaedah Tauhid Asyairah wal Maturidiyyah. Pandangan ulama Sunni terhadap kitab Nahjul Balaghah (kumpulan khutbah, surat, dan kata-kata hikmat yang dinisbatkan kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib R.A.) adalah campuran antara pengakuan akan keindahan sasteranya dan kritikan terhadap kesahihan riwayatnya.Berikut adalah ringkasan pandangan Sunni terhadap kitab tersebut:1. Pengakuan terhadap Keindahan Sastera. Majoriti ulama Sunni mengakui bahawa Nahjul Balaghah adalah karya sastera Arab yang sangat tinggi nilainya. Muhammad Abduh(Tokoh Kaum Muda), bahkan pernah membuat syarah (penjelasan) ke atas kitab ini kerana kagum dengan balaghah (kefasihan) bahasa yang terkandung di dalamnya.2. Kritikan terhadap Kesahihan Riwayat - Walaupun dihormati dari segi sastera, ulama hadis Sunni umumnya berhati-hati dengan kandungan Nahjul Balaghah kerana:Tiada Sanad: Kitab ini dihimpunkan oleh Sharif Radhi pada kurun ke-4 Hijrah, jauh selepas kewafatan Sayyidina 'Ali R.A. (kurun ke-1 Hijrah). Kebanyakan khutbah di dalamnya tidak disertakan dengan sanad (rangkaian perawi) yang bersambung. Isu Kandungan: Sebahagian kandungan dianggap bertentangan dengan riwayat sejarah yang lebih sahih atau mengandungi cercaan terhadap para sahabat Nabi yang lain, yang mana ia diragui keluar daripada lidah Saidina 'Ali R.A..3. Sikap terhadap Isi Kandungan Bukan Sumber Utama: Dalam tradisi ilmu Sunni, Nahjul Balaghah tidak dianggap sebagai kitab rujukan hadis utama atau sahih seperti Sahih Bukhari atau Sahih Muslim. Boleh Diterima Sebahagian: Kata-kata hikmat atau nasihat yang tidak bertentangan dengan akidah dan sejarah Ahli Sunnah boleh diterima sebagai mutiara kata, namun tidak boleh dijadikan hujah hukum (dalil syarak) secara mutlak.Kesimpulannya, Sunni menghargai Nahjul Balaghah sebagai karya sastera yang hebat, tetapi tidak mengiktiraf seluruh isinya sebagai riwayat sahih daripada Saidina 'Ali R.A.Nota: Pandangan ini disimpulkan berdasarkan rujukan umum ilmu hadis dan ulasan ulama Sunni terhadap kitab tersebut.