338 bekas anggota PKM dibenar pulang
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan 338 daripada 431 permohonan bekas anggota komunis yang memohon pulang ke negara ini dalam tempoh setahun selepas perjanjian ditandatangani pada 2 Disember 1989.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata baki permohonan ditolak kerana pelbagai sebab seperti gagal mematuhi syarat perjanjian dan bermasalah daripada segi status kewarganegaraan.
Beliau juga berkata, daripada jumlah itu, ada permohonan ditarik balik atas kehendak pemohon.
Mengikut perjanjian itu, ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti memaklumkan hasrat kepada pihak berkuasa dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani, mengemukakan butir berkaitan pemohon dan menjalani proses temu duga serta dokumentasi.
Hishammuddin berkata, proses kepulangan bekas anggota komunis ke Malaysia adalah berdasarkan tawaran `one-off' mengikut perjanjian untuk menghentikan peperangan antara kerajaan Malaysia dengan PKM.
Beliau berkata, kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis pulang, sebaliknya diberi kebebasan memilih sama ada pulang atau terus menetap di Selatan Thailand.
"Dengan pilihan itu, tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran pulang, malah ramai memilih terus tinggal di selatan Thailand," katanya menjawab soalan bertulis Teresa Kok (DAP-Seputeh), di Parlimen semalam.
Hishammuddin juga berkata, kekejaman komunis menyebabkan ramai rakyat dan anggota keselamatan terkorban dan ia memberi kesan mendalam kepada rakyat.
Sehubungan itu, demi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara serta bekas anggota komunis terbabit, nama mereka yang dibenarkan pulang tidak didedahkan.
"Peruntukan akta itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan jika ada individu atau organisasi cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20090618233944/Article/index_html
p/s: Soalan Cepu Emas: Apakah peranan Tan Sri Robert Kwok dalam rundingan damai Haadyai? Siapakah beliau? Hehehehe... (Jawapan dapat gula-gula hacks 3 biji)


No comments:
Post a Comment