Sunday, March 23, 2008

Catitan Tahun Ke - 13: Kitab Buai Laju-Laju

Buai laju-laju

Sampai pokok sena

Apa dalam baju?

Sekuntum bunga cina

Buai laju-laju

Sampai cucur atap

Bila besar nanti

Pandai ...

Bismillahi rahman nirrahim. Inilah kitab pada menyatakan bab buai laju-laju. Adapun kata-kata pendahuluannya diwaridkan pada 26 haribulan rejab 1428H tahun jawi, hari jumaat pada tahun rumi 2007 bulan kedelapan hari kesepuluh, waktu maghrib adanya. Bukannya apa tuan hamba, takut tak sempat arakian nyawa yang dipinjamkan itu takut-takut akan diambil kembali.

Mengapa buai laju-laju? Mengapa tak pilih tajuk yang lain tuan hamba? Adapun kata M.Nasir seorang mahaguru penyair seloka dan gurindam yang bolehlah dikatakan masyhur pada zaman ini ada menyatakan dalam seloka lagunya yang berbunyi – jika ada bendanya tentulah ada namanya, jika ada isinya tentulah ada bekasnya. Maka pemilihan tajuk bagi kitab ini diharap dapat menyampaikan hajat maksud kasad hati sang manusia yang mewaridkan kisah hikayat kelakuan dan afaal perbuatan manusia yang yang dilihat dan didengar oleh sang perwarid melalui deria yang dipinjamkan-Nya melalui sifat-Nya jua wallahualam.

Sukacita bagi perwarid jika ada yang dirawikan di sini dapat dijadikan akan kamu iktibar dan panduan. Mana elok mana pakai, mana buruk itu ditinggal. Ambil yang jernih, tapis yang keruh agar hasilnya juga nanti membawa kejernihan...

Apa itu buai? Mengapa dibuai laju-laju?

Siapa membuai, siapa yang terbuai?

Adapun untuk mengetahui maksud buai dan pecahannya maka hamba sertakan maksudnya yang hamba perolehi dari Kamus Dewan.

Buai pada maksud loghat bahasa Melayu bermaksud ayun; berbuai pula terayun sama ada ke hadapan dan ke belakang atau ke kiri dan ke kanan, berayun: sebagai contoh: gugusan buah di pohon itu ~ ditiup angin; atau seperti menaiki buaian: anak kecil itu ~ bersama kawan-kawannya;

Adapun bagi lafaz berbuai-buai pula ianya bermaksud; berbuai berulang-ulang, berayun(-ayun): badannya yg gemuk kelihatan ~ apabila dia berjalan;

Tak sampai lagi maksudnya tuan hamba, mari kita teruskan dengan pecahan yang seterusnya iaitu membuai yang bermaksud menggerakkan sesuatu hingga berbuai-buai: alun besar ~ kapal; ia juga menyampaikan maksud; mengasyikkan, melekakan, melenakan: hanyut dibuai khayalan; matanya dihalakan ke hadapan dan perasaannya tiba-tiba dibuai kesedihan;

Di sini dapatlah tuan-tuan hamba meneka maksud kasad hati hamba seperti yang hamba ingin sampaikan ibarat pembayang pada pantun sebelum dua rangkap terakhir disambung.

Atau masih musykil dan waham lagi tuan hamba? Tidak mengapa. Kita sambung lagi kajian kita.

Membuaikan pula jatuh pada maksud mengayunkan buai: ~ anak sehingga terlena; atau menyebabkan berbuai: angin yg bertiup lembut ~ janggutnya;

Manakala pula terbuai-buai maksudnya jatuh pada terus berbuai beberapa kali, terayun-ayun;

Buaian pula adalah tempat tidur anak kecil yg boleh diayun atau tempat kanak-kanak berayun, ayunan; dan akhir sekali sebuah peribahasa; bandul loceng; ~ digoncang, anak dicubit yang mana orang-orang tua maksudkan menyelimuti perbuatan (maksud) yang jahat.

Manakala maksud laju pula ialah pantas (pergerakan), cepat: kapal belayar juga, makin lama makin ~; dan cepatnya sesuatu gerakan (dalam ilmu fizik) lebih cepat dari gerakan yang mula-mula.

Dalam bahasa yang mudah; makin lama semakin cepat.

Buai laju-laju, mengapa ya?

Dalam petung ilmu persilatan mana yang laju tak dapat ditangkap, siapa yang laju dia yang dapat!

Siapa dapat siapa?

Yang slow ke yang laju tuan hamba?

Dalam bab berbuai atau berayun tu dah jatuh pada bab gayang tuan hamba.

Diam, Gerak, Gayang, Ruat. Yang mana satu?

Bab aurat orang tua-tua sahabat, tak boleh dibuka dan tak boleh dilihat dan ditunjukkan tapi boleh diceritakan...

Akibat dibuai, bangsa kita pada zaman ini berada dalam keadaan asyik, leka, dan lena kerana kesedapan oleh bahana kena buai dek orang. Sekali lagi, siapa membuai siapa? Dibuai-buai, semakin lama semakin laju; tanpa disedari. Orang miskin dibuai harapan. Yang kaya dibuai khayalan. Akhirnya jadi hampas dan yang didapati cuma angan-angan tak kesampaian.

Intipati kepada persoalan ini berkisar pada apa yang dicapai oleh umat Melayu dan bangsa Malaysia yang sedap asyik dibuai orang. Dan, dalam kesedapan ini kita semua tuan hamba, lena dalam mimpi yang panjang. Tido tak menyado kata orang-orang tua ikut loghat pertuturan daerah Muar (Muo).

Tak dapat tidak (kata yang pernah dituturkan oleh Dato Onn) bila menulis tentang perkara ini akan menyentuh dan disentuh tentang keadaan semasa dan iklim budaya di negara kita. Itu pun sebab kita dilahirkan di sini. Kalau hamba dilahirkan di Amerika gamaknya, hamba akan cerita mengenai Amerika dan di dalam bahasa Inggeris.

Namun apa yang nyata di sini, warkah coretan hamba ini gamaknya hanyalah fazakkir untuk diri hamba yang amat jahil lagi tidak bijak laksana.

Ibaratnya aku jua yang berkata-kata dengan aku, begitulah hakikatnya seperti apa yang dikhabarkan oleh seorang to’ syeikh kepada hamba.

Hmm..

Sebagai penutup kata dari hamba yang dhaif ini, sukalah hamba sertakan sama sebuah sajak sebagai penutup, sekian.

Ke mana arah kau hadapkan wajahmu

Di situ kau akan nampak kekasihmu

Adakah ada dia dalam dirimu?

Atau ada kau dalam dirinya?

Yang nyata tak ada duanya satu....

Siapa kau?

Atau siapa aku?

Halim Fansuri al Bagani at Talibi

p/s ...serbat untuk gajah bukan untuk semut... – Hassan Al Basri

1 comment:

Anonymous said...

APA yg tahun ke 13 OBA?

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani

*Catatan tambahan: Sey amat meminati gaya penulisan FT, tapi bukan bawaan akidahnya. Sey ASWJ Mazhab Imam Syafiee dgn Kaedah Tauhid Asyairah wal Maturidiyyah. Pandangan ulama Sunni terhadap kitab Nahjul Balaghah (kumpulan khutbah, surat, dan kata-kata hikmat yang dinisbatkan kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib R.A.) adalah campuran antara pengakuan akan keindahan sasteranya dan kritikan terhadap kesahihan riwayatnya.Berikut adalah ringkasan pandangan Sunni terhadap kitab tersebut:1. Pengakuan terhadap Keindahan Sastera. Majoriti ulama Sunni mengakui bahawa Nahjul Balaghah adalah karya sastera Arab yang sangat tinggi nilainya. Muhammad Abduh(Tokoh Kaum Muda), bahkan pernah membuat syarah (penjelasan) ke atas kitab ini kerana kagum dengan balaghah (kefasihan) bahasa yang terkandung di dalamnya.2. Kritikan terhadap Kesahihan Riwayat - Walaupun dihormati dari segi sastera, ulama hadis Sunni umumnya berhati-hati dengan kandungan Nahjul Balaghah kerana:Tiada Sanad: Kitab ini dihimpunkan oleh Sharif Radhi pada kurun ke-4 Hijrah, jauh selepas kewafatan Sayyidina 'Ali R.A. (kurun ke-1 Hijrah). Kebanyakan khutbah di dalamnya tidak disertakan dengan sanad (rangkaian perawi) yang bersambung. Isu Kandungan: Sebahagian kandungan dianggap bertentangan dengan riwayat sejarah yang lebih sahih atau mengandungi cercaan terhadap para sahabat Nabi yang lain, yang mana ia diragui keluar daripada lidah Saidina 'Ali R.A..3. Sikap terhadap Isi Kandungan Bukan Sumber Utama: Dalam tradisi ilmu Sunni, Nahjul Balaghah tidak dianggap sebagai kitab rujukan hadis utama atau sahih seperti Sahih Bukhari atau Sahih Muslim. Boleh Diterima Sebahagian: Kata-kata hikmat atau nasihat yang tidak bertentangan dengan akidah dan sejarah Ahli Sunnah boleh diterima sebagai mutiara kata, namun tidak boleh dijadikan hujah hukum (dalil syarak) secara mutlak.Kesimpulannya, Sunni menghargai Nahjul Balaghah sebagai karya sastera yang hebat, tetapi tidak mengiktiraf seluruh isinya sebagai riwayat sahih daripada Saidina 'Ali R.A.Nota: Pandangan ini disimpulkan berdasarkan rujukan umum ilmu hadis dan ulasan ulama Sunni terhadap kitab tersebut.