Monday, May 25, 2009

Secangkir Kahwa Pengendur Urat

(Dei! Mau kena gigit ka?)

i.

adapun hamba ini suka amat bergurindam, bermain hikmah madah, bersyair seloka..

ii.

adapun hamba ini mahu membuka hikayat akan peri tabiat pembesar dan segala orang-orang kaya adanya.. akan kegemaran mereka membela peliharaan..

iii.

adapun segala peri tabiat pembesar dan segala orang-orang kaya, baik yang duduk di kanan Raja atau yang duduk di kiri baginda ini sukalah amatnya membela haiwan, baik yang jinak mahupun yang buas adanya..

iv.

ada yang gila kuda membela kuda; kuda jantan, kuda betina. Ada yang suka membela ikan membela ikan atau pun segala jenis mergastua.. malah ramai jua yang kesukaannya membela betina..

v.

namun yang teristimewa; hampir semua orang-orang besar kita suka amat memelihara anjing, baik yang hitam mahupun yang putih kuning, dibelai dimanja diberinya tulang terjelir lidah kesukaan amat anjing-anjing dato-dato itu adanya..

vi.

adapun begitu, adalah dikalangan anjing-anjing yang dimanjakan itu tersalah-sangka, terlupa dirinya itu merempat dagang sebatang kara, kepala berkurap pantatnya bercawat ekor datang mencari makan.. dihalau orang ke sana ke mari dan dikejar diperambat anjing-anjing lain dari baka yang baik adanya.. lalu diberi anjing-anjing ini berteduh oleh datuk nenek kita sesuai dengan maksud hadis; makhumnya,”..bersedekah pada anjing seumpama membebaskan hamba sahaya ganjarannya..”.

vii.

maka sesudah diberi betis hendaknya peha pula, cacing kerawit sudah naik ke mata akan anjing-anjing ini.. bukan salah orang lain, melainkan atas kealpaan orang-orang kaya kita dan anak cucunya jua sehingga anjing-anjing ini, diberikannya tulang sehingga tangan pun digigit..

viii.

...hilanglah malunya akan anjing-anjing ini, sehingga sanggup mengaku anak luar nikah tok nenek kita, mahukan hak duduk samarata dengan tuan rumah, tamakkan hak pesaka orang lain..

xi.

Orang Bangka menggulai babi, orang Siam yang menyenduknya,

Yang disangka tidak menjadi, orang diam pula mendapatnya.

x.

Bukan kerja kita mengenepikan orang tanpa kasihan. Itu sudah kita timbang lama jua. Cupak yang pepet, gantang yang piawai, cupak dua belas tahil, gantang kurang dua limpa puluh, baris tidak boleh dilampaui, cupak tidak boleh berlebih berkurang, yang berukur berjangkaan, yang berbaris berbelebas, teraju yang tidak dipalingkan, berjenjang naik bertangga turun, hitam tahan tempa, putih tahan cuci, bungkal genap menahan asah, emas murni menahan uji, kebenaran menahan lihat. Semua sudah kita timbangkan. Paduka Raja itu kerana dia banyak kuasa di istana tiada dia berunding dengan Majlis Orang Kaya akan tiba masa membuat keputusan. Harta seisi negeri dibahagi-bahagi kepada saudara-saudaranya sudah menjadi ia seperti lelaki nyanyuk itu, kita ingat kita ini lelaki bani Ghifar masakan kita tidak mencegah kalau sudah dicerobohi duit baitul mal.” (Faisal Tehrani, Saasatul Ibaad, mukasurat 26)

xi.

bijak.. bijak! Habis tulang, lengan Dato digigit. Baik yang bersongkok tinggi katifah hitam mahupun yang berserban kapas putih berbelit, alamat sakit lari terkencing terbirit-birit tak cukup tanah.. kain pun tanggal melurut habis.. tinggal anak cucu cicit mata terpisat-pisat kehairanan tak tahu punca..

xii.

maka tamatlah karangan hamba duabelas rangkap adanya, menanti ilham datang turun dari kayangan inderaloka... Wallahualam..

Halim Fansuri 23hb May 2009/28 Jumadil Awwal 1430H/09:00 p.m

p/s: sambil baca sila pasangkan lagu Keroncong Nostradamus karya M.Nasir untuk kesan yang lebih.. heh heh heh..



No comments:

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani

*Catatan tambahan: Sey amat meminati gaya penulisan FT, tapi bukan bawaan akidahnya. Sey ASWJ Mazhab Imam Syafiee dgn Kaedah Tauhid Asyairah wal Maturidiyyah. Pandangan ulama Sunni terhadap kitab Nahjul Balaghah (kumpulan khutbah, surat, dan kata-kata hikmat yang dinisbatkan kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Thalib R.A.) adalah campuran antara pengakuan akan keindahan sasteranya dan kritikan terhadap kesahihan riwayatnya.Berikut adalah ringkasan pandangan Sunni terhadap kitab tersebut:1. Pengakuan terhadap Keindahan Sastera. Majoriti ulama Sunni mengakui bahawa Nahjul Balaghah adalah karya sastera Arab yang sangat tinggi nilainya. Muhammad Abduh(Tokoh Kaum Muda), bahkan pernah membuat syarah (penjelasan) ke atas kitab ini kerana kagum dengan balaghah (kefasihan) bahasa yang terkandung di dalamnya.2. Kritikan terhadap Kesahihan Riwayat - Walaupun dihormati dari segi sastera, ulama hadis Sunni umumnya berhati-hati dengan kandungan Nahjul Balaghah kerana:Tiada Sanad: Kitab ini dihimpunkan oleh Sharif Radhi pada kurun ke-4 Hijrah, jauh selepas kewafatan Sayyidina 'Ali R.A. (kurun ke-1 Hijrah). Kebanyakan khutbah di dalamnya tidak disertakan dengan sanad (rangkaian perawi) yang bersambung. Isu Kandungan: Sebahagian kandungan dianggap bertentangan dengan riwayat sejarah yang lebih sahih atau mengandungi cercaan terhadap para sahabat Nabi yang lain, yang mana ia diragui keluar daripada lidah Saidina 'Ali R.A..3. Sikap terhadap Isi Kandungan Bukan Sumber Utama: Dalam tradisi ilmu Sunni, Nahjul Balaghah tidak dianggap sebagai kitab rujukan hadis utama atau sahih seperti Sahih Bukhari atau Sahih Muslim. Boleh Diterima Sebahagian: Kata-kata hikmat atau nasihat yang tidak bertentangan dengan akidah dan sejarah Ahli Sunnah boleh diterima sebagai mutiara kata, namun tidak boleh dijadikan hujah hukum (dalil syarak) secara mutlak.Kesimpulannya, Sunni menghargai Nahjul Balaghah sebagai karya sastera yang hebat, tetapi tidak mengiktiraf seluruh isinya sebagai riwayat sahih daripada Saidina 'Ali R.A.Nota: Pandangan ini disimpulkan berdasarkan rujukan umum ilmu hadis dan ulasan ulama Sunni terhadap kitab tersebut.