| Buku politik fitnah budaya tidak sihat – Rabu, 22 April 2009/26 Rabiulakhir 1430H Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my  | RAJA Nazrin melancarkan buku Keberanian Menggapai Harapan karya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sambil diperhatikan Keith, di Kuala Lumpur, semalam. | Raja Nazrin bimbang penulis racuni fikiran rakyat dengan fitnah, pengaruh negatif
KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan penulis di negara ini menghasilkan buku politik bertujuan memburuk-burukkan individu tertentu.
Baginda bertitah, kecenderungan itu yang semakin popular di kalangan penulis yang bermatlamat jangka pendek dan komersial untuk menghasilkan tema penulisan memburukkan individu yang berkait rapat dengan takwim perjalanan organisasi politik tertentu. "Aliran sedemikian jika terus berkembang, dibimbangi akan membina satu budaya penulisan tidak sihat, menyuburkan fitnah, kurang beretika, sanggup mengetepikan fakta dan seterusnya membawa pengaruh negatif dalam perkembangan minda warga," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku bertajuk Keberanian Menggapai Harapan karya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, hasil terjemahan daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di sini, semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, James R Keith; pejuang hak asasi Amerika Syarikat, Rev Jesse Jackson; Pengerusi ITNM, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Ketua Eksekutif ITNM, Mohd Khair Ngadiron. Raja Nazrin bertitah, budaya penulisan sedemikian akan merugikan bangsa dalam jangka masa panjang berbanding keuntungan singkat yang bermotifkan matlamat sempit kumpulan atau individu tertentu.
"Manusia dicipta Ilahi berbangsa-bangsa serta dibekal bahasa masing-masing. Untuk membolehkan manusia mendapat faedah khazanah ilmu daripada bangsa dan bahasa pelbagai itu, maka manusia punyai dua pilihan.
"Pilihan pertama ialah menguasai bahasa yang digunakan bangsa itu sendiri, manakala kedua, menterjemahkan khazanah ilmu serta pengetahuan milik bangsa lain kepada bahasa sendiri," titah baginda.
Baginda bertitah, ITNM kini melaksanakan projek terjemahan karya agung Malaysia ke bahasa Inggeris seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut serta Cerita Lipur Lara. "Karya agung yang dihasilkan itu mencerminkan ketinggian budaya dan satu modal sosial negara bangsa yang amat bernilai. Terbukti kandungan karya agung Melayu itu adalah bangsa yang memiliki budaya tinggi, tamadun agung serta lengkap dengan adab, tertib, budi dan bahasa baik.
"Baik dalam hubungan antara Raja sebagai pemerintah, ulama, pembesar, pemimpin, pedagang, pemimpin dan rakyat, begitu juga dalam sistem berkerajaan dan negara yang berlandaskan hukum, bertiangkan adat," titah baginda.
Baginda mengingatkan semua pihak bahawa kandungan dalam karya agung itu mengenai bangsa yang mempunyai kehebatan tamadun akhirnya musnah kerana persengketaan sesama sendiri.
Titah baginda, perebutan wilayah, hasad dengki, iri hati, fitnah akhirnya memberi ruang memudahkan proses penjajahan menguasai alam Melayu ini.
"Akhirnya, betapa harga sosial, politik, budaya dan ekonomi yang perlu dibayar oleh bangsa kerana dilanda arus penjajahan.
"Tanah air akhirnya dijajah, bangsa menerima nasib malang terpinggir dan disisih di bumi warisan bangsanya, lalu bangsa menerima nasib laksana ayam yang lapar di kepuk, laksana itik yang haus di air," titah baginda.
Mengenai Obama, Raja Nazrin bertitah, Presiden Amerika Syarikat itu ternyata cekap menggunakan instrumen komunikasi moden dengan bijak mendampingi minda, hati dan emosi rakyat sehingga mendapat kepercayaan rakyat negara itu.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090421232713/Article |
No comments:
Post a Comment