Tuesday, December 8, 2009

MENCARI GAYUNG - oleh SERUNAI FAQIR


Bismillahirrahmanirrahim..

Akan karya cerpen ini bukanlah hasil dari pemikiran otak beku hamba yang berkarat tak cukup sifat adanya melainkan ianya adalah karangan saudara Serunai Fakir dalam akhbar Mingguan Malaysia pada tarikh 22 januari 2006 bersamaan dengan tarikh jawi 21 Dzulhijjah 1426 Hijrah baginda Rasulullah ke kota Madinah adanya. Mustaid disalin kembali 15 ogos 2006 bersamaan dengan tarikh jawi 20 Rajab 1427 Hijrah baginda Rasulullah ke kota Madinah adanya.


Penulis Khairul Hafiz Abd Rahman @ Serunai Faqir, biasa menyumbangkan karyanya di akhbar-akhbar perdana dan laman blognya ialah http://serunaifaqir72.blogspot.com/. Kompilasi cerpennya yang berjudul “Mencari Gayung”, terbitan DBP telah diterbitkan pada 2009 dan berharga sekitar RM 22.00.


Mengapa hamba terbitkan coretan beliau di teratak buruk hamba ni? Supaya dapat direnung-renung dan ditimbang-timbang oleh mereka yang bercita-cita (bernafsu?) besar, kononnya hendak menjadi pewaris mutlak Gayong? Persoalannya; apakah Gayong? Dan siapakah Gayong? Adakah Gayong itu mutlak milik individu-individu atau pertubuhan-pertubuhan tertentu sahaja? Adakah ianya trademark atau label korporat organisasi semata-mata yang boleh diniagakan? Atau diadatkan? Adakah kita yang memilih untuk menjadi Gayong atau Gayong yang memilih kita? Sama-samalah kita renungkanrenungkan jadi ingatan buat diri sendiri...


Halim Fansuri – 8 Disember 2009/21 Dzulhijjah 1430H / 0904H)

p/s: ...aku bukan anak Gayong. AKU lah Gayong!



MENCARI GAYUNG - oleh SERUNAI FAQIR


DALAM nafas yang satu ini dia ingin memberontak. Sekian lama sekebun naluri terkurung dalam istana desakan hidup, dia ingin merdeka... ingin punya sayap untuk terbang ke dada awan. Mahu melayah menyambar rahsia alam, mahu menongkah angin tujuh penjuru, mahu bertemu pusaka leluhur, mahu lemas dalam irama asyiknya.


Dalam mimipi-mimpinya, sang dalang selalu menjelma meriwayatkan kisah-kisah lama dan perjanjian purba. Dari Epik Mahabrata ke Gayung Kalimah, dari Seri Rama meniti wasilah Maharisyi. Sangkanya dia tenggelam karam dalam lautan makna yang maha dalam tidak terselam rupa-rupanya berbalam –balam.


“Tariku bersatu dalam kalimah, aku tarik dalam kalimah.” Si Pencari terus membuka tari Gayung Kalimah.


Duduk dalam kandungan rahim, berdiri dalam alif. “Ini bukan tari pesona, ini tari seribu makna, tari seribu rahsia.”


Malam masih pekat, seperti malam-malam yang selalu namun keremajaannya beransur pudar. Hanya berbekalkan sedikit cahaya dari bulan yang pucat dan gelanggang tua ini masih terpelahang setia menyapa Sang Pencari.


Alif pertama.


“Lantas apa yang kau mahu?” Pendeta bertanya, langkah tari terus diatur.


Kedua-duanya bermain Gayung Kalimah. Gerak dalam huruf, garit dalam nafas. Bersatu nafas dan roh – menjadi titik punca hayat. Tapak empat bermula, menuju dari sudut ke sudut terkandung empat anasir – tanah, air, api dan angin. Membentuk jasad Adam bagai yang tertempa di awal penciptaan. Alhamdulillah.


Sementara jerit serunai terus melangsing tinggi, gendang ibu dan anak saling bertingkah menyambut mereka untuk menyudi ilmu. Irama Kerbau Berembat yang dipalu cepat benar menghangatkan hati Si Pencari.


Dia tersenyum, “Bukan apa yang kumahu, tapi apa yang kau tahu wahai Pendeta.”


“Bukan apa yang kutahu, tapi apa yang kau mahu?” Balas Pendeta, sedikit keras. Mata membelingas, keliar memerhati gerak lawan. Bahasa tubuh saling diintai, tilik dalam-dalam, mahu lihat apa yang tersirat dalam gerak, mahu pandang nahu gerak.


Sampai ditengah titik pertemuan, tarik sidai undur setapak – pusing semula masuk ke dalam. Hiap! Bagai ayam berlaga, mereka melilit. Masa untuk menghambur belum diizin. Ikut dalam petua guru, mesti duduk dalam permainan bukan ikut kata hati. Lilit dalam bulat, dalam penuh dan yakin dalam satu. Bulat tanda penuh, yakin penuh yakin, haqqul yaqin dalam sebenar mengenal.


Irama kian bersatu. Semangat kian terpanggil untuk menumpaskan lawan. Masing-masing penuh berhati-hati, jangan sampai terlupa menarikan bersama irama yang kian rancak.


Sang Pencari melilit penuh hati-hati, mahu memerangkap. Pendeta sudah merdeka bebas, tiada syak, zan dan waham mahu menunggu salam buah yang pertama.


Permainan diteruskan.


Gerak ‘Galah Panjang’ meniti di atas gelanggang. Malam semakin panjang.


Tumbuk seni disorong, tanda Melayu penuh beradat. Dalam silat ada silap, dalam silap ada silau, dalam silau duduk rahsia. Rahsia pendekar Melayu, rahsia disebalik rahsia – wasilah berangkai, mula dalam rabitah. Lenyap dalam kalam, lebur dalam ilham. Bukan omong kosong berbasa-basi tapi pakaian sejati hulubalang. Ini bukan hikayat Dendam Tak Sudah tapi:


Tengkolok kampuh pelangi

Bukan pelangi zaman ini

Pelangi zaman dulu

Tiap sudut ada hikmat

Telepuk lengkok ada hikmat


“Wahai pendeta, aku cari rahsia dalam rahsia. Aku cari rahsia dalam bergayung. Mana indah, mana rasa atas rahsia, mana rahsia dalam rahsia.” Gayung bersambut. Buah Selak diluncur lalu disambut.


Ah, aku sambut dalam gayung.


Sambut bukan sebarang sambut, sambut dalam berlapis, jadi berbelit-belit bagai pulut melekit bagai sawa membelit, walau berdenyut nadi – kemas dalam kunci. Nafas ditarik, rahsia permainan tersimpan dalam gerak dan langkah. Pelepas dicari – buka buah dengan buah, tangan saling tersimpul. Jarak sudah dibaca, ukur ilmu dalam-dalam. Pendeta sudah tahu sebelum buah Si Pencari tiba lagi. Perlahan-lahan dilepaskan kuncian, tahu dalam mengaji bila gerak terhenti, tiadalah berdaya untuk bergerak melainkan dengan izin.


“Ah, kita ini tiada daya upaya,” bisik Pendeta ke telinga Si Pencari.

“Apakah yakinku tidak bersandar pada ikhtiar?” Si Pencari sedikit ragu.


Pelajaran


Si Pencari dan Pendeta melilit lagi. Giliran Pendeta menyua tangan untuk meneruskan pelajaran. “Itu tanda tidak yakin wahai Si Pencari. Apa perlu memandang kalau sudah putus yakin dan meletakkan pengharapan yang tinggi lalu menyerahkan segala? Mahu kenal rahsia diri, baru terlerai segala yang dicari.”


Si Pencari mengangguk. Pelajaran pertama sudah mendaratkan fahamnya. “Lalu apa lagi wahai Pendeta?”


“Tilik-tilik dalam hati, baru kenal sendiri. Bila faham timbul yakin, sudah yakin baru pegang kerana barang siapa mengenal akan dunia tahulah barang yang terpedaya. Barang siapa mengenal akan akhirat, tahulah dunia mudarat.” Jelas PENDETA sambil menyuakan tumbuk kirinya.


Giliran Si Pencari menyambut, “jika ada izin, aku sambut dengan buah Pasung Guru.”

“Silakan.”


Cepat-cepat Si Pencari melipat tangan Pendeta, mahu mengunci dan tidak melepaskan Pendeta, tapi disekat oleh Pendeta kerana niat sudah dibaca, matlamat sudah terasa. Buah dibuka dengan gelek lalu mengunci dengan buah Selendang.


“Tapi kenapa?” tanya Si Pencari kehairanan sambil mencari pelepas untuk membuka buah yang mengunci, tapi tersekat semakin erat.


“Kenapa hati melayar rasa bangga? Mahu tenggelam dalam laut derhaka? Mencapai maksud bukan semenda kata tapi harus amal baru tajalli diri. Mengingat jangan putus, kalau tidak nescaya istana imanmu bertukar raja menjadi persemayaman Bota Rawana!”


“Aku tidak faham maksudmu wahai pendeta.” Wajah menarik seribu kerut, menahan sakit dikunci.


“Kesakitan itulah hasil penderhakaan pada permainan. Sudah kukatakan tadi, main ikut mainan bukan ikut hati. Sebab yang dikunci bukan tubuh kasarmu, tapi sifat mazmumah supaya jangan membarah. Anggara diri harus dibunuh! Itulah pelajaranmu yang kedua.”


Alif kedua.


Kunci dilerai, masing-masing menjauhkan tubuh ke sudut masing-masing. Nafas diatur, tari Gayung Kalimah dibuka lagi. Langkah demi langkah, tangan melimbai, tumbuk dan sekat. Sayembara bertambah muncak, pelajaran sudah diterima. Ada hati perlu dibasuh dan diasuh. Ada hati perlu dicuci dan disuci. Mahu jadi hulubalang Melayu sejati, mesti kenal rahsia diri, mesti kenal rahsia seni, mesti kenal rahsia tersembunyi.


“Hah!” Tangan diangkat seakan-akan pedang menetak, menyusul dan membelah Pendeta. Elak kiri, sambut luar. Buah Jala Kiam menerkam, tubuh yang sasa itu mudah sahaja terhempas ke bumi.


“Itu sambut dengan amaran. Petua harus kau perhati. Tunjuk arah hatimu bukan berkawan. Dalam bergayung kita mencari kawan, bukan menghimpun lawan.” Cepat-cepat Pendeta membuka langkah menjauhkan diri daripada Si Pencari yang masih terpinga-pinga. Sang Pendeta memasang kekuda, dalam keadaan bersiap siaga.


“Apa maksud Pendeta merebahkan tubuhku tanpa makluman?” Si Pencari mendongkol, tidak puas hati.


Pendeta membuka langkah “Sekeling”, “Jaga hati molek-molek. Mujaga hati, hati jagamu. Langkah dan buah harus duduk di atas butir, baru adil namanya. Jangan sembrono menzalimi diri dengan mengekalkan sifat-sifat tercela.”


“Aduh Pendeta, kau ini terlalu berperi-peri, mana harus aku menangkap manis buah bicaramu.”


Mereka melilit lagi. “tidaklah sesukar mana wahai Si Pencari. Perahu sudah di air, hanya menunggu untuk dikayuh. Tidak perlu laju, perlahan pun tidak mengapa. Yang penting selamat tiba. Yang payah apabila hanya tahu berkokok, perahu tidak dicari lantaran berasa diri sudah mencukupi.”


Si Pencari menggeleng. Kesal benar tidak menurut ajaran gurunya.

Irama yang dipalu semakin cepat. Suasana bertambah gawat.

Cak, ting.

Cak, ting.

Sepak keting!


“Ingatlah, ilmu itu biasanya hadir dalam tiga keadaan. Pertamanya, ketika lapar mencengkam rasa. Keduanya, ketika kau mengurangkan mimpi-mimpi indahmu dan seterusnya apabila kurangnya perkataan yang kau ucapkan.”


“Aku telah lama terleka. Jalan sudah terbentang luas bagai laut tidak bertepia... ah, barangkali itulah ujian buatku...”


“Ya, itulah ujian buat kita semua, harus juga aku mengingatkan diri. Bukan mudah tapi sukar, bukan senang kerana mata harus bergenang mengenang akan dosa nan silam. Yakinlah keampunan-Nya meliputi seluruh alam.”


“Tapi aku malu, aku malu...


Pendeta menghela nafas. “Pada benak kita terdapat ribuan saraf yang menjadi rumah pada akal. Setiap saraf ada fungsinya yang tersendiri. Ada antaranya bernama ‘manik’ – Nur yang menerima dan menangkap ilmu dengan cepat dan terang. Di dalam ‘manik’ terkandung fikir yang fungsinya untuk membezakan di antara yang hak dan batil. Pada fikir terkandung sukma yang membezakan antara insan dan haiwan. Dalam sukma ada budi; fungsinya untuk bertimbang rasa dan perikemanusiaan. Dalam budi ada rasa yang berfungsi untuk perasaan bertanggungjawab.”


Si Pencari terpempan.


Alif ketiga.


Simboh. Melilit lagi. Sepi membungkus suasana. “Ingat... ketika kita diam, kiam, gerak dan tari semuanya menyerlahkan dua puluh sifat sebagai kias. Itulah pengajiannya.”


Rengek serunai menjerit suara pucuk, tanda perlawanan semakin genting. Ibu mengerpak lebat, anak bunyi selapis.


Cak, ting.

Cak, ting.

Sepak keting!


Segera Si Pencari menyambut luar, tangan Pendeta ditating – masuk buah Sembelih. Tapi segera dipotong dengan langkah dan masuk tapak guru. Kedua-dua tubuh direndahkan. Permainan bawah. Cepat-cepat Pendeta menyambar kaki Si Pencari dengan tangannya, namun dia enggan mengalah. Kaki kiri cepat menghantar buah penyepak. Elak dan tunduk, kaki Si Pencari ditangkap dan dikunci. Si Pencari masih enggan mengalah, mahu bangkang mainan tapi terus melekat dan terkunci di situ. Muka tertumus ke tanah, kaki dan tangan dilipat.


“Main ikut mainan! Buang sifat sombong!”

Jerkah Pendeta.


Si Pencari terkedu.

“Maafkan aku, terlupa itu kelemahanku.”


“Lihat! Lihat tanah itulah asal kejadian kita. Pengamal Gayung Kalimah jangan takut jatuh. Jatuh itu menandakan kita manusia biasa, tidak mungkin menepis buah kesilapan dalam hidup. Kita ini lemah dan hina.”


Perlahan-lahan Si Pencari dibebaskan daripada rangkulan kunci, dia mengisar ke belakang sedikit. Dia tahu pelajaran sudah hampir ke penghujung. Cepat-cepat Pencari membuat ‘paras’ menandakan permainan sudah tamat. Bibirnya segera menyambar tangan Pendeta, memohon maaf dan restu. Masih terbayang di layar benak, sirih pinang yang dihulur suatu ketika dahulu adalah tanda mengikat wasilah kasih dan ilmu. Pendeta menepuk-nepuk bahu Si Pencari.


“Datang daripada Dia, kembalikan kepada Dia. Amanah yang diterima harus dijaga bukan untuk dijaja, mengerti?”


Pencari mengangguk lemah.


“Usah jadi merak buih. Kelihatan cantik bersinar dari tubuhnya yang molek, tapi bersuci pun masih belum pandai sudah mahu menongkat dunia. Mainan jangan bercampur, jangan jadi sekerat ular, sekerat belut. Warisan ini jangan kau lacurkan semahumu, daulatkan ia baru duduk di atas jalan ilmu.” Pendeta berpesan.


Si Pencari termangu. Selama ini pesan gurunya diabaikan. Kalau boleh langit biru mahu diinjak, sedangkan kaki masih terawang tidak mencecah tanah tangan tidak menggapai bulan. Ilmu ini harus disebarkan tapi perlu tilik, perlu pengabsahan dari segala sudut dan sifat. Ini bukan barang mainan, ini barang bisa diuji. Barang minta, barang jadi. Barang sebut, barang dapat. Kun bukan ilmu jalanan.


Glosari:

Kampuh – Dua lapis kain (kertas dll) yang dijahit menjadi satu.

Tajalli – Tersingkap, jelas atau nyata, tidak tersembunyi.

Anggara – Sifat buas

Simboh – Salah satu gerak dalam permainan tapak empat (silat pulut)


19 comments:

fakir al banjari said...

best, buat kesekian kalinya dahagaku terubat.

fakir al banjari said...

postmu ini membuat pakaian koyakku terlerai dan aku bagaikan ditarik ke bilik bagi memakai persalinan kesayanganku.

Oghang Ba Ado said...

he he he.. adapun hamba ini cuma mencatat catatan atau coretan orang lain adanya.. lihatlah sajak-sajak tu contohnya.. semuanya Halim Fansuri yang empunya.. hamba ni, nama aje Oghang Ba Ado, apa pun tak ado... achaii!

Gelojak_Jiwa said...

di sinilah perjalananku bermula... rindunya ketika itu..

mautauka said...

tergerak hatiku memberi komen. selepas membaca post ini semalam, terus langkah sumbang ku menyusun tari mengengang sesuatu warisan yang aku pelihara tapi tiada warisnya. Terima Kasih sahabat. Aku Puas

mautauka said...

mengengang = mengenang (tetapi versi sakit gigi)

Gelojak_Jiwa said...

ya benar, selama ini aku ada menyimpannya dalam buku, tapi buku itu hilang. puas ku mencari, rupanya disini Dia mempertemukan aku dengan catatan ini.

terima kasih sahabatku

Oghang Ba Ado said...

Alhamdulillah jika jadi manfaat.. yang baik datang dari Dia, yang buruk datang dari kita (walau hakikatnya kita ini tak berdaya nak menghela barang satu nafas sekalipun..) kredit untuk Serunai Faqir!

fakir al banjari said...

harap lebih ramai dapat menghadam hidanganmu ini. bukan sekadar jamah semata

Oghang Ba Ado said...

kalau sedap makan lagi.. apa salahnya datang banyak-banyak kali ke rimba ini..

fakir al banjari said...

ya, dah banyak kali suap ni, tapi tak kenyang-kenyang jugak

Gelojak_Jiwa said...

kalau perut jasmani memang dah puas dah. tapi ni makanan perut ruhani. memang tak kenyang-kenyang.

Pencinta Ilmu said...

Teruja benar membaca novel/cerpen di atas. Bukan sekadar bermain senjata, bermain kata pun dia boleh. Teringat pantun guru belebatku. Adat Orang Mandi di kolam, tidak mandi membasuh muka, adat orang bertikam, tidak mati merasa luka. Pandulah jiwamu dgn ilmumu bukan dgn nafsumu. Disamping mencari guru silat, guru ibadat, jangan dilupa carilah guru ma'rifat (kerohanian) kerana inilah tradisi mulia pejuang Islam dahulu. Apakah tariqat yg dibawa oleh Salahudin Ayyubi, siapakah ayah Hasan al-Banna dan mengapa mathurat dijadikan wirid harian spt amalan ahli tarikat dan sufi, kemanakah mat kilau, datuk bahaman pergi mendapatkan kekuatan rohani sebelum kembali bertempur dgn British ...jumpe lagi.

fakir al banjari said...

soalan susah yang tok guru pecinta ilmu pelu bagi kami tau

Oghang Ba Ado said...

bang pencinta ilmu.. ni soalan esei ke. soalan objektif? ha ha..

Pencinta Ilmu said...

Jawab je..jawapan rujuk majalah beladiri, atau mana-mana artikel tentang pengaruh tariqat dan kesufian di nusantara." sesiapa nakkan ketinggian darjat, bangunlah di tengah malam' (tahajud, berzikir, berfikir dan bertafakur)

fakir al banjari said...

aku yang masih mencari......
jawapan
pengertian
jalan

tunjuki daku duhai sahabat

Pencinta Ilmu said...

Wahai tuan fakir, nanti kita bincang lg pada tajuk akan datang...tak sempat dah, duk layan anak kecik 4 org ni. Lemahnya aku..

Oghang Ba Ado said...

rezeki tu bang.. rezeki..

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Berwajah Harimau Berhati Singa!

Sebelum Kau Pergi...

Saidina Ali ada memberi petunjuk dan peninggalan untuk mereka yang mahu mengikut dan menjejakinya. Bunyi pedoman itu dapat dikutip dalam Nahjul Balaghah, begini:

'La tastawhisyu fi thariqilhuda liqillati ahlih. Fainnan nasa qad ijtama'u ala maidah syiba'uha qashir wa ju'uha thawil.'

Maksudnya: 'Janganlah kamu merasa kesepian di jalan petunjuk kerana sedikit pengikutnya. Manusia sungguh hanya berkumpul di sekitar hidangan. Kenyangnya sebentar, laparnya berpanjangan.'

Jadi, biaq pi lah orang pergi kepada dia. Kita mesti kekal jadi minoriti yang berpegang kepada kebenaran. – Faisal Tehrani